Beli ayam, minyak lebih murah hingga 30 peratus di Negeri Sembilan

Rakyat di Negeri Sembilan dapat membeli barangan asas makanan seperti ayam dan minyak masak lebih murah antara 20 hingga 30 peratus berbanding harga pasaran.

Jualan pada harga ladang setiap minggu di lapan lokasi di seluruh Negeri Beradat itu menyaksikan ayam contohnya dijual RM13 seekor manakala minyak masak paket hanya RM2 sekilogram.

Program Jualan Harga Ladang Nismilan Prihatin diadakan atas sifat cakna Kerajaan Negeri terhadap isu kenaikan harga barang yang terus-menerus menghimpit rakyat.

Selain ayam dan minyak masak, pembeli terutamanya dalam kalangan B40 dapat membeli telur, sayur-sayuran dan daging dengan harga lebih rendah.

Inisiatif dengan peruntukan sebanyak RM1 juta itu mendapat sokongan daripada syarikat-syarikat yang sudi memasarkan produk mereka pada harga ladang.

Lebih membanggakan, terdapat kakitangan kerajaan dan sukarelawan yang sanggup berkorban tenaga menyembelih ayam, memproses, membungkus dan menjual barangan setiap minggu di seluruh Negeri Sembilan.

Dalam masa sama, di bawah pentadbiran Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun, inisiatif baharu Muafakat Tani dilaksanakan mulai tahun ini.

Inisiatif tersebut bertujuan mengimbangi beban kos sara hidup rakyat seterusnya memupuk
minat bertani dalam kalangan isi rumah dan komuniti.

Bantuan Pakej Personal bernilai RM1,000 bagi seorang peserta dan Pakej Komuniti berjumlah RM15,000 diberi berupa pemberian kit pertanian seperti benih, baja dan tanah campuran dengan jumlah keseluruhan peruntukan sebanyak setengah juta ringgit.

Menerusi inisiatif tersebut, masyarakat digalakkan untuk melaksanakan kebun komuniti masing-masing bagi mengurangkan kos belanja barangan dapur.

Usaha itu bukan sahaja memberi manfaat kepada pemilik ataupun pengusaha. Strategi serampang dua mata ini akan memberi impak positif rakyat sebagai pengguna utama untuk mendapatkan barangan keperluan yang lebih murah.