Projek pembinaan kantin sekolah Kampung Awah dalam senarai

Kedaifan kantin Sekolah Kebangsaan (LKTP) Kampung Awah, Maran, Pahang yang menimbulkan kontroversi kerana menyebabkan 230 murid terpaksa makan merata rata termasuk di tepi longkang sebenarnya telah pun dimaklumi oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Malah menurut Kementerian, projek pembinaan semula kantin itu akan bermula sebaik sahaja peruntukan diperolehi menerusi Belanjawan 2023 yang akan dibentangkan pada 24 Februari ini.

“KPM sentiasa cakna dan prihatin terhadap isu yang melibatkan soal kebajikan dan keselamatan murid. Sebagai makluman, projek tersebut berada dalam senarai 74 projek daif yang diperakukan oleh KPM untuk Rolling Plan ke-3 (RP3) tahun 2023 dan kelulusan projek tertakluk kepada pembentangan Bajet 2023 pada 24 Februari 2023.

“Hal yang demikian melibatkan skop untuk merobohkan bangunan daif sedia ada, dan membina semula bangunan baharu termasuk kantin dan lain-lain kemudahan mengikut piawaian dan mesra OKU, perolehan peralatan dan kelengkapan baharu serta menambah baik kemudahan infrastruktur sedia ada,” jelas kenyataan tersebut.

Bagaimanapun, menurut kementerian, menjelang pembinaan semula kantin itu pihak sekolah telah pun meletakkan pita larangan memasuki kawasan tersebut atas faktor keselamatan berikutan strukturnya telah diisytiharkan tidak selamat oleh pihak Jabatan Kerja Raya (JKR).

“Selain itu pihak sekolah juga telah menyediakan khemah khas untuk digunakan oleh murid dan guru semasa waktu rehat.

“KPM sentiasa komited untuk memastikan sekolah berada dalam keadaan baik, selamat dan kondusif untuk keselesaan semua murid dan guru,” kata kenyataan itu lagi.

BACA JUGA Nurul Izzah bukan lagi penasihat kanan ekonomi dan kewangan