Undang-undang lebih menyeluruh melindungi kanak-kanak dan wanita

Kerajaan sedang mengorak langkah ke arah membentuk undang-undang yang lebih komprehensif yang dapat melindungi kanak-kanak dan wanita.

Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa berciap di Twitter bahawa beliau menyertai mesyuarat koordinasi isu kanak-kanak dan wanita yang telah dipengerusikan oleh Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Nancy Shukri seusai pembukaan sidang parlimen.

“Kordinasi melibatkan komitmen rentas kementerian dan agensi ini wajar bersepadu dalam mengurus dan merangka dasar serta inisiatif yang menyentuh perkaitan langsung dengan kanak-kanak dan wanita,” ciap beliau di laman Twitter.

Anggota kabinet lain yang turut menghadiri mesyuarat ini ialah Menteri Pendidikan Fadhlina Siddiq dan Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Aiman Athirah Sabu.

Menteri Undang-undang dan Reformasi Institusi Azalina Othman Said sudahpun mengumumkan penubuhan Suruhanjaya Kanak-kanak.

Buat masa sekarang terdapat beberapa undang-undang berkaitan wanita dan kanak-kanak.

Akta-akta yang dimaksudkan ialah Akta Perlindungan Wanita dan Gadis 1973, Akta Keganasan Rumah Tangga 1994, Akta Antigangguan Seksual 2022 dan Akta Orang Kurang Upaya 2008 dan Akta Kanak-kanak 2001.

Perkara ini turut disentuh oleh Yang Dipertuan Agung ketika memberikan titah ucapan perasmian pembukaan parlimen pagi ini.

BACA JUGA: Dewan Rakyat mula bersidang hari ini