Asnaf OKU di Negeri Sembilan lega dibantu
Pernah mendiami tingkat atas blok Projek Perumahan Rakyat (PPR) Bersepadu Senawang, Negeri Sembilan, sekarang Wan Aziz Wan Abdullah, 50, sudah boleh menarik nafas lega.
Lebih bertambah kelegaannya, selain sudah tinggal di aras paling bawah, pemegang kad orang kurang upaya (OKU) itu juga mendapat bantuan zakat.
Agihan dana Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) itulah banyak meringankan beban kewangannya yang tidak dapat bekerja secara tetap lantaran kecacatan tulang belakang atau skoliosis yang dialami.
Ditemui Harapan Daily hari ini, bapa kepada empat anak berumur lapan hingga 17 tahun itu ternyata bersyukur dengan rezeki yang dinikmatinya.
Wan Aziz antara lapan golongan asnaf yang layak menerima agihan zakat di Negeri Sembilan dengan jumlah keseluruhannya sebanyak RM112 juta.
“Alhamdulillah, bantuan agihan Baitulmal membantu kerana saya mempunyai tanggungan empat orang anak yang masih bersekolah.
“Tambahan pula, keadaan diri saya tidak berupaya lagi untuk mencari nafkah,” katanya yang sebelum pandemik Covid-19 berniaga menjual minuman air batu campur (ABC).
Pengurusan zakat dikendalikan MAINS melalui pelbagai usaha dan pendekatan menyaksikan banyak syarikat dan tokoh korporat datang membayar zakat di negeri itu.
Kerajaan Negeri Sembilan telah menerima bayaran zakat yang semakin meningkat setiap tahun dari 2019 hingga 2021 dengan kutipan tertinggi pada tahun 2021 sebanyak RM142.36 juta.
Jumlah agihan kepada asnaf fakir dan miskin turut ditambah baik mengikut kadar had kifayah yang layak bagi para asnaf.
Bagi kadar had kifayah fakir, RM250 minimum sebelum ini telah dinaikkan kepada maksimum RM800 sebulan mengikut keperluan isi rumah.
Sementara itu, bagi kadar had kifayah miskin ditetapkan minimum RM250 hingga RM550.
BACA JUGA Tiada yang mustahil, 97 peratus janji manifesto PH Negeri Sembilan tertunai