“Baca buku Madani, bukan bawa petikan luar” – Shah Alam bidas Ketua Pembangkang
Seorang penyokong kerajaan membidas Ketua Pembangkang supaya membaca dengan jelas segala intisari dalam buku Malaysia Madani yang ditulis oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa prinsip keadilan sebenarnya telah dinyatakan dalam naskhah tersebut.
Azli Yusof (PH-Shah Alam) berkata pihak pembangkang tidak sepatutnya mengambil petikan dari luar yang tidak membabitkan gagasan negara Madani yang digagaskan oleh Perdana Menteri.
“Ia jelas dalam buku disebut, tolong baca dan bahas buku, bukannya ambil petikan dari luar,” tegas beliau ketika diberi laluan mencelah oleh Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainuddin yang membahaskan titah Yang di-Pertuan Agong dalam sidang Dewan Rakyat pada Selasa.
Azli berkata, Hamzah (PN-Larut) tidak menyebutkan pun intisati penting yang terkandung dalam buku Malaysia Madani yang telah diedarkan kepada orang ramai semasa majlis pelancaran konsep itu baru-baru ini.
“Saya yakin ramai di kalangan Ahli Parlimen pembangkang hadir dalam pelancaran gagasan Malaysia Madani itu.
“Apa yang paling penting saya tidak yakin semua termasuk Ahli Parlimen pembangkang membaca hingga tidak disebutkan ayat berkenaan keadilan sedangkan dalam muka surat 24 disebut dengan jelas Surah Al-Nahl ayat 90 ” Sesungguhnya Allah memerintahkan kami berlaku adil dan ihsan.. sehingga akhirnya dengan jelas disebut dalam buku tersebut,” katanya.
Justeru itu, beliau mempersoalkan bagaimana Ahli Parlimen pembangkang membuat tuduhan dan kiasan bersifat tidak adil kepada gagasan yang diusahakan oleh Ahli Parlimen Tambun.
“Kalau Larut sokong sepatutnya dibaca juga intisari dalam buku itu supaya dapat difahami oleh mereka tidak membacanya dalam dewan ini,” katanya.
BACA JUGA: Isu kaum, agama: PN lakukan pengherotan maklumat di Selangor
Â