Hutang negara mencecah RM1.5 trilion

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata hutang negara telah mencecah RM1.5 trilion, melebihi kadar pertumbuhan ekonomi negara.

Katanya, pengurusan yang lemah dan ketirisan yang berlaku antara penyebab hutang negara tinggi.
“Hutang liabiliti dan hutang kerajaan telah mencecah RM1.5 trilion iaitu 82 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
“Hutang kerajaan adalah RM1079.6 trilion, antaranya termasuk komitmen jaminan RM205.9 bilion dan 1MDB RM18.2 bilion,” katanya ketika menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Taiping, Wong Kah Woh semasa sesi pertanyaan perdana menteri .
Jika dikira dari segi peratus KDNK, hutang Kerajaan Persekutuan telah mencecah 60.4 peratus, kata Anwar.
Dari segi bayaran khidmat hutang yang telah dibayar pada 2022, bayaran khidmat hutang sekitar RM41 bilion, dan RM46 bilion pada tahun 2023.
“Peratus bayaran ini kepada hasil untuk 2022 adalah 14 peratus dan untuk 2023 adalah 16 peratus. Ini bermakna bayaran khidmat hutang negara tinggi dan ianya hanya untuk membayar faedah, dan bukannya membayar pokok hutang yang tertunggak,” ujarnya.
Bagi langkah-langkah yang diambil untuk menyelesaikan peningkatan paras hutang, Anwar berkata, kerajaan akan memperbaiki tatakelola kerana antara perbelanjaan bilion ringgit yang hilang adalah kerana pengurusan yang lemah dan ketirisan, menyebabkan hutang lebih tinggi daripada pertumbuhan ekonomi negara.
Pada masa sama, asas hasil negara akan dipastikan bertambah dan mengkaji semula kaedah perbelanjaan awam tanpa membebankan rakyat.
Â