Mahu Belanjawan 2023 beri manfaat rakyat terbanyak

Belanjawan 2023 yang bakal diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 24 Februari ini bukanlah belanjawan Pakatan Harapan (PH) sebaliknya belanjawan Kerajaan Perpaduan untuk semua rakyat.

Ahli Parlimen Shah Alam, Azli Yusof berharap agar Kerajaan Perpaduan dapat merancang Belanjawan tahun 2023 dengan penuh teliti bagi menjamin kemakmuran bersama yang lebih menyeluruh demi kesejahteraan rakyat.

Menurutnya, salah satu tonggak konsep Madani yang digagaskan oleh Perdana Menteri iaitu ihsan perlu ditekankan dalam pembinaan modal insan yang berupaya menyelesaikan masalah rakyat sekali gus membentuk insan yang dijamin kemampanan.

“Saya hendak supaya biarlah kali ini belanjawan yang berunsurkan ihsan itu ada kepada rakyat.

“Rakyat memang memerlukan pelbagai jenis inisiatif kerajaan dan itu sangat penting tetapi selain daripada itu Belanjawan 2023 ini mestilah lebih bersifat berdaya tahan yang boleh dilakukan sepanjang masa bukan sekadar ‘one off’ (sekali) sahaja,” katanya kepada Harapan Daily.

Tambahnya, langkah ini adalah penting bagi membolehkan semua pihak atau golongan yang terlibat termasuk para peniaga atau pekerja mahir dapat terus berdaya tahan dan membantu kepada pertumbuhan ekonomi negara.

Kata Azli, dalam tempoh pemulihan ekonomi ini, sektor perniagaan dilihat akan terus berdaya tahan dan beroperasi seperti sedia kala sekiranya dipacu oleh inisiatif-inisiatif yang terdapat dalam Belanjawan 2023 nanti.

“Mesti ada kerangka untuk pastikan bahawa mereka (peniaga) mempunyai cukup keupayaan modal insan dengan menyediakan inisiatif-inisiatif untuk membina kemahiran mereka daripada sudut teknikal dan pengurusan.

“Perlu perbanyakkan inisiatif ransangan untuk meningkatkan kemahiran dan juga keupayaan masyarakat bagi membantu kepada pertumbuhan ekonomi serta kesediaan untuk menyumbang kepada kemajuan negara kita,” katanya.

Selain itu, tambah Azly peluang pekerjaan juga perlu diwujudkan kepada rakyat melalui pertumbuhan infrastruktur dalam negara yang akhirnya akan memberikan ruang kepada kemajuan dalam industri hiliran.

BACA JUGA Menteri mahu tindakan, Wan Ahmad Fayshal mengelirukan dewan berkaitan PTPTN, manifesto PH