Menjelang PRN Negeri Sembilan: ‘Wakil rakyat umpama Superman, Superwoman’
Ketua Wanita Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan, Nicole Tan Lee Koon komited untuk terus menyantuni dan membantu masyarakat di negeri Adat Perpatih itu demi melihat kesejahteraan mereka.
Sambil memberi perumpamaan, pemimpin DAP itu menyifatkan jangkaan masyarakat terhadap kemampuan wakil rakyat ibarat kuasa yang ada pada seorang adiwira.
”Jangkaan rakyat terhadap wakil rakyat umpama Superman atau Superwoman yang serba boleh walaupun kami sedia maklum kita bukan seperti itu.
”Tetapi kami akan cuba terus bekerja (memberi khidmat terbaik kepada masyarakat) untuk mencapai apa yang mereka jangkakan daripada kami.
”Justeru, saya berharap semua wakil rakyat daripada PH akan dapat memenuhi aspirasi masyarakat yang tinggi terhadap kita semua,” katanya ketika ditemui Harapan Daily di Wisma Negeri, Negeri Sembilan, hari ini.
Beliau berkata demikian apabila ditanya tentang harapannya menjelang saingan Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi.
Mengulas lanjut, Nicole yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Kepayang berkata, pihaknya bertekad untuk terus melaksanakan tugas sebagai wakil rakyat, sekali gus membawa perubahan yang lebih baik kepada rakyat diwakilinya.
“Saya berharap kita (PH) akan dapat lakukan sesuatu sehingga rakyat dapat merasakan bahawa kerajaan PH betul-betul berlainan.
”Sekarang saya merasakan wakil rakyat PH tidak seperti dulu. Telefon bimbit kini sentiasa ‘terbuka’ 24 jam dan akan membalas pesanan WhatsApp kecuali apabila kami sibuk.
”Satu perkara lagi, sebarang mesej yang ditinggalkan di laman Facebook juga kami akan selesaikan mengikut kemampuan,” ujarnya lagi.
BACA JUGA Tiada yang terlepas bayar royalti pasir, pendapatan Negeri Sembilan bertambah