Pastikan pelabur tak lari, jangan hanya umum jumlah pelaburan masuk

Datuk Johari Abdul Ghani (Titiwangsa-BN) menegaskan supaya kerajaan mencari jalan bagaimana mahu merealisasikan projek-projek yang dibawa pelabur luar ke dalam negara, sekaligus memastikan mereka tidak ‘lari’.
Beliau berkata, saban tahun kerajaan mengumumkan berbilion ringgit pelaburan berjaya diluluskan, namun pada akhirnya tiada kemaskini tentang status pelaburan yang benar-benar melabur ke dalam negara.
Ini kerana katanya, jika benar kerajaan menarik berbilion ringgit pelaburan asing dalam setahun, mana mungkin kadar pengangguran dalam negara terus meningkat.
“Apabila bercerita FDI, kita lihat kerajaan suka mengumumkan telah melulus pelaburan yang belum sampai. Pelabur datang, buat permohonan, kita pun bagi lulus, lepas itu kita umum.
“Bila kita umum,umum,umum, apa yang berlaku? Kita mengumumkan 2018 dapat pelaburan RM80 bilion, 2019 RM82 bilion, 2020 RM64 bilion, 2021 RM208 bilion, manakala 2022 setakat bulan 9, status pelaburan sebanyak RM149 bilion
“Kalau saya tengok, dengan adanya pelaburan bilion ringgit ini sepatutnya tak ada lagi pengangguran. Namun sebenarnya berdasarkan pengumuman yang dibuat, projek yang akhirnya direalisasikan itu amatlah kecil,” beliau berkata semasa membahaskan titah ucapan diraja dalam sesi sidang Dewan Rakyat, mesyuarat pertama penggal kedua parlimen ke-15 hari ini.
Pada masa sama, beliau menggesa agar kerajaan dan setiap kementerian mengenalpasti apa permasalahan utama yang menyebabkan pelabur membatalkan pelaburan mereka.
Johari juga menyarankan agar kerajaan dan kementerian mengemaskini laman sesawang mereka terutama berkaitan pelaburan yang tidak dapat diteruskan, supaya ia boleh memberi peluang kepada pelabur lain untuk melabur.
“Saya faham bahawa pelaburan ini mengambil masa untuk direalisasikan tapi perlu ada satu mekanisma dan laporan perkembangan tentang status pelaburan yang kita dah umum. Kemudian lapor dalam website
“Supaya bila pelabur luar tengok, mereka mungkin akan mengambil peluang untuk masuk melabur. Komunikasi di peringkat antarabangsa itu sangat penting. Bila kita cuma luluskan projek tapi tak tahu bila akan direalisasikan, maka ini akan jadi masalah,” katanya lagi.