PM Anwar terima jemputan Erdogan, beri sokongan moral mangsa gempa Turkiye
Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka bertolak ke Turkiye malam ini bagi mengadakan pertemuan dengan Presiden Recep Tayyip Erdogan.
Perdana Menteri berkata, selain pertemuan dengan Erdogan, kunjungan itu juga sebagai sokongan moral kepada negara yang dilanda gempa bumi minggu lalu.
Anwar memberitahu Erdogan sendiri yang menjemput beliau ke sana memandangkan Malaysia merupakan antara negara terawal menghantar bantuan kemanusian ke negara itu.
“Saya diminta oleh presiden (Turki) kalau boleh untuk segera ke sana untuk memberikan sokongan moral dan saya telah menimbangkan terpaksa bertolak malam ini untuk ke Turki untuk menunjukkan sokongan kita kerana beberapa negara telah sampai.
“Presiden Tayyip Erdogan telah meminta kalau boleh saya sampai secara peribadi di sana,” katanya dalam sidang Dewan Rakyat pada Rabu.
Sementara itu, ketika ditanya pemberita di luar sidang, Anwar menjelaskan beliau akan bertolak ke Turkiye bersama Menteri Luar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas) Datuk Armizan Mohd Ali.
Beliau berkata setelah bercakap dengan Erdogan, didapati Presiden Turkiye itu kelihatan begitu terkesan dan pihaknya fikir sebagai sahabat harus ada bersama untuk memberikan semangat.
“Bukan sahaja kepada beliau malah rakyat Turkiye walaupun kita tidak dapat berbuat apa-apa,” katanya yang sebelum ini mempunyai hubungan yang akrab dengan Erdogan.
“Pada mulanya saya enggan pergi kerana saya fikir telah hantar pasukan SMART dan buka hospital (medan) tetapi saya lihat kesan kepada Presiden saya rasa sahabat harus ada bersama.
“Kalau bertolak malam ini esok pagi sampai, esok petang saya balik. Sebab Parlimen masih bersidang dan banyak temu janji telah dibuat. Sebelum pagi Khamis dah sampai (Malaysia)… nak ikut?”
Semalam Yang di-Pertuan Agong bersama anggota Dewan Rakyat bertafakur bagi mengucapkan takziah atas kejadian gempa bumi di Turkiye minggu lalu yang sehingga kini mengorbankan ribuan jiwa selain meranapkan kediaman dan bangunan.
Malaysia bertindak menghantar dua pasukan SMART dalam tempoh 24 jam tragedi itu bagi membantu operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa gempa bumi itu.
Selain itu, seramai 106 pegawai dan anggota Angkatan Tentera Malaysia telah dihantar ke negara itu bagi mengoperasikan Hospital Medan Malaysia (HMM) melalui Op Starlight II di Celikhan, Adiyaman.
Ia diaktifkan selepas kerajaan Turkiye meminta bantuan dari kerajaan Malaysia untuk mengoperasikan Hospital Medan di kawasan bencana.
BACA JUGA: Malaysia pantas hulur bantuan Turkiye, Syria