PN tak hapuskan pinjaman PTPTN, jangan politikkannya

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin meminta agar pembangkang tidak mempolitikkan isu pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Ia susulan soalan dibangkitkan Datuk Ahmad Yahaya (Pokok Sena-PN) yang bertanya adakah kerajaan tidak berhasrat memansuhkan pinjaman PTPTN kerana menurutnya, Tan Sri Mahiaddin Md Yasin ketika mentadbir negara berjaya memansuhkan hutang peneroka.

Khaled kemudian membalas pertanyaan itu dengan mengatakan bahawa kesemua parti politik yang pernah mentadbir negara pun tidak pernah membuat keputusan berhubung pemansuhan pinjaman pendidikan itu.

“Jika dilihat secara keseluruhannya kesemua blok politik yang pernah menjadi kerajaan baik BN baik PH, hatta PN tidak ada satu pun blok yang pernah membuat keputusan menghapuskan hutang PTPTN.

“Malah termasuklah ketika PN memerintah. PTPTN daripada tahun 2018 hingga 2022 yang dikepalai oleh wakil Bersatu sendiri pun tak ada nak dihapuskan

“Jadi saya ingat cukup-cukuplah politikkan soal PTPTN,” beliau berkata semasa sesi jawapan lisan sidang Dewan Rakyat hari ini.

Sementara itu, menjawab tentang pengecualian bayaran balik PTPTN kepada graduan Ijazah Sarjana Muda Kelas Pertama, Khaled memaklumkan bahawa proses pengecualian itu tidak akan berlaku secara automatik dan kekal dengan proses asal iaitu graduan perlu kemukakan permohonan.

“Soal mengecualikan bayaran balik untuk graduan yang mendapat keputusan cemerlang, bergantung kepada permohonan PTPTN kepada kerajaan untuk mendapat peruntukan bagi membiayai pengecualian tersebut

“Dalam konteks ini bergantung pada bajet diumumkan setiap tahun. Permohonan oleh mereka kelas pertama tidak automatik dan program pengecualian itu juga tidak disediakan secara automatik oleh PTPTN,” jelasnya.

BACA JUGA: Menteri mahu tindakan, Wan Ahmad Fayshal mengelirukan dewan berkaitan PTPTN, manifesto PH

Â