RM50 juta berjaya dikumpul untuk tabung bencana gempa Turkiye, Syria
Sejumlah RM50 juta berjaya dikumpul untuk Tabung Bencana Kementerian Luar Negeri (TBKLN) bagi disalurkan kepada mangsa gempa bumi di Turkiye dan Syria.
Perdana Menteri berkata kerajaan berasa terharu kerana sumbangan daripada konglomerat, yayasan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu berjaya dikumpulkan dalam tempoh singkat.
“Ia disalurkan bagi tujuan meringankan beban mangsa-mangsa gempa bumi tersebut. Ini antara jumlah kutipan tertinggi pernah diterima oleh TBKLN,” kata Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam hantaran di Facebook petang tadi.
Beliau berkata demikian selepas menyaksikan penyerahan sumbangan kepada Menteri Luar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir untuk TBKLN.
Hadir sama Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas) Datuk Armizan Ali.
Anwar berkata bencana menimpa Turkiye dan Syria yang turut menerima tempias gempa tersebut adalah yang terparah sejak tragedi tsunami melanda sebahagian negara di Asia Tenggara pada 2004.
“Tentunya kita sebagai negara sahabat dan Turkiye terutamanya pernah membantu beberapa syarikat di Malaysia yang mengalami masalah pada masa lalu dengan jumlah yang tidak sedikit.
“Syria turut dibantu saat ini meski negara tersebut kini dihadapkan dengan tekanan sekatan (sanctions) oleh negara-negara Barat,” kata Anwar.
“Dukungan kita adalah atas dasar kemanusiaan dan sudah semestinya pendirian dan dasar luar negara lain tidak terpakai di sini. Solidariti dan doa buat Turkiye dan Syria!”
BACA JUGA: PM Anwar terima jemputan Erdogan, beri sokongan moral mangsa gempa Turkiye