Tiada yang mustahil, 97 peratus janji manifesto PH Negeri Sembilan tertunai
Tiada yang mustahil bagi Kerajaan Negeri Sembilan yang diterajui Pakatan Harapan (PH) sejak tahun 2018 apabila berjaya melunaskan sebanyak 98 peratus daripada 71 janji-janji manifestonya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paroi, Datuk Mohamad Taufek Abd. Ghani berkata, pencapaian tersebut termasuklah menukarkan hak milik tanah jenis perumahan berstatus pajakan (leasehold) kepada pegangan kekal (freehold).
“Walaupun ramai kata mustahil, tetapi kerajaan negeri mampu menyelesaikan isu pajakan tanah kepada hak milik kekal,” katanya ketika ditemuramah Harapan Daily di Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Paroi semalam.
Menurut wakil rakyat dari Parti Amanah Negara (AMANAH) itu, kerajaan negeri sejak lima tahun lalu telah banyak meluluskan permohonan yang diterima oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) membabitkan tanah bandar dan tanah pekan.
“Penukaran status rumah mereka sekaligus membolehkan kediaman mereka dijadikan sebagai aset untuk kegunaan masa depan mereka,” ujarnya.
Sehubungan itu, beliau yang juga Naib Pengerusi AMANAH negeri yakin rakyat mampu membuat keputusan yang tepat menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi.
“Berdasarkan prestasi kerajaan PH, saya yakin rakyat Negeri Sembilan bijak dan matang untuk membuat keputusan dalam PRN demi masa depan yang lebih baik,” katanya.
Inisiatif penukaran hak milik tanah kediaman daripada pajakan kepada hak milik kekal meliputi tujuh daerah di Negeri Sembilan bermula 2020.
Lebih 35 kawasan perumahan memperoleh status milik kekal dengan DUN Ampangan dan DUN Paroi diangkat menjadi pemula bagi inisiatif tersebut.
BACA JUGA Tokoh PH-BN Negeri Sembilan diyakini dapat runding persiapan PRN