Tindakan lebih tegas pemilik biar lembu berkeliaran di Dengkil

Enakmen Mengawal Lembu Kerbau 1971 perlu dipinda bagi memberi kuasa yang lebih jelas kepada setiap pihak berkuasa terbabit khususnya pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi menyelesaikan masalah haiwan ternakan berkeliaran di Dengkil, Sepang.

Ahli Parlimennya Aiman Athirah Sabu berkata langkah itu bagi memastikan tidak lagi berlaku situasi ‘tolak-menolak’ atau saling menafikan siapakah sepatutnya yang bertanggungjwab terhadap masalah tersebut.

AIMAN ATHIRAH

“Saya memandang serius beberapa insiden kemalangan disebabkan lembu berkeliaran tanpa tuan khususnya pada waktu malam atau awal pagi yang semakin kerap berlaku di jalan-jalan sekitar Jenderam – Dengkil.

“Ia telah bukan sahaja mengakibatkan kemusnahan harta benda khususnya kenderaan, bahkan juga hilangnya nyawa beberapa pengguna jalan raya,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Aiman Athirah berkata pihaknya bersimpati kepada semua mangsa dan percaya hal ini boleh dielakkan jika semua pihak sama ada pemilik lembu, masyarakat kampung dan PBT dapat bekerjasama mencari jalan-jalan penyelesaian secara komprehensif.

“Pemilik-pemilik lembu ataupun binatang ternakan sewajarnya mengambil sikap tanggungjawab utama memastikan lembu atau ternakan masing-masing dapat ditambat dan dipastikan dalam jagaan terbaik,” ujarnya.

Jelas beliau masyarakat setempat juga boleh memainkan peranan kolektif dan efektif untuk mengenal pasti pemilik-pemilik lembu atau ternakan yang sering dibiarkan berkeliaran di persekitaran mereka.

“Ini bagi membolehkan tindakan awal dapat dilaksanakan segera termasuk tindakan sita dan saman. Dalam banyak kes, pemilik-pemilik lembu berlepas tangan dengan tidak mengakui lembu itu adalah milik mereka khususnya yang telah menjadi penyebab kepada kemalangan,” katanya.

Lembu berkeliaran mati akibat dirempuh kenderaan di jalan Jenderam-Dengkil pada awal pagi 14 Februari 2023. Foto My Dengkil

Dalam hal ini, beliau berkata pihaknya telah berbincang dengan Pegawai Daerah Sepang berhubung isu ini mengambil maklum beberapa isu berkaitan untuk penambahbaikan termasuk membawanya kepada perhatian Exco kerajaan negeri.

“Saya mencadangkan agar setiap ternakan wajib ada pengenalan diri dan pengenalan pemilik bagi memudahkan urusan pengesanan dan pertanggungjawaban.

“Ini sekali gus akan menjadikan pemilik-pemilik lembu atau ternakan mempunyai keperluan tanggungjawab yang lebih tinggi dan jika berlaku kemalangan, tiada pemilik yang boleh lepas tangan.

“Amaun denda terhadap pemilik yang gagal mengawal lembu atau ternakan masing-masing juga wajar ditingkatkan,” katanya.

BACA JUGA: Perangi ‘pemangsa’, suspek kes amang seksual mesti digantung tugas