Usahawan belia Selangor dibantu ke peringkat antarabangsa

Kerajaan Selangor akan menganjurkan program pembangunan Industri Mikro, Kecil dan Sederhana (IMKS) berorientasikan eksport melalui program SAY ASPIRE.

Exco Perumahan, Kesejahteraan Bandar dan Pembangunan Usahawan Selangor, Rodziah Ismail berkata program terbabit dijadualkan berlangsung pada Mac sehingga Mei depan dan sebanyak 30 usahawan IMKS di Selangor disasarkan terlibat dalam program tersebut sebagai persediaan sebelum menerokai pasaran global.

“Antara manfaat penyertaan ialah kursus latihan eksport, rangkaian kerja bersama agensi kerajaan seperti Malaysia External Trade Development Corporation (MATRADE) dan Export-Import Bank of Malaysia Berhad (EXIM Bank Malaysia).

“Selain itu, usahawan juga berpeluang membuat pembentangan di hadapan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin dan memenangi geran SAY ASPIRE pada pusingan akhir,” katanya dalam satu kenyataan.

Mengulas lanjut, Rodziah berkata program tahunan ini yang bermula sejak 2018 telah melahirkan ramai usahawan berjaya seperti Medics-Pet, PopsMalaya dan Innersejuk.

Dalam pada itu Rodziah berkata, Kerajaan Negeri Selangor berharap agar program seperti SAY ASPIRE ini bukan sahaja dapat diteruskan malah diperluaskan lagi demi memupuk semangat juang dan daya saing yang tinggi dalam kalangan usahawan IMKS di Selangor.

“Kita berharap usahawan negeri ini terus berdaya maju dan kekal berdaya tahan, sekaligus dapat mengharumkan nama Selangor di persada dunia melalui eksport produk buatan tempatan namun setanding kualiti antarabangsa,” katanya.

Program SAY ASPIRE merupakan kerjasama di antara Exco Pembangunan Usahawan Selangor dan Selangor Youth Community iaitu sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang ditubuhkan oleh Tengku Amir Shah untuk membangunkan usahawan belia di persada antarabangsa.

Program pembangunan usahawan untuk belia ini turut berpotensi mengembangkan produk dan khidmat mereka ke pasaran global melalui kursus bimbingan dan latihan strategi eksport.

Buat julung kalinya, program SAY ASPIRE edisi ketiga ini mendapat kerjasama meluas daripada Exco Perumahan, Kesejahteraan Bandar dan Pembangunan Usahawan Selangor dan ditaja oleh Sunway Bhd dan Menteri Besar (Diperbadankan) Selangor.

BACA JUGA Rancangan Selangor 1: Rakyat bakal nikmati 200 projek ekonomi, infrastruktur