Banyak bantuan diperoleh, rakyat Negeri Sembilan mahu kekalkan PH

Rata-rata rakyat di Dewan Undangan Negeri (DUN) Lenggeng, Negeri Sembilan menyambut baik pelbagai iniasitif yang diperkenalkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) sejak menerajui negeri tersebut.

Penduduk Kampung Batu 7, Ramlahwati Ramli, 42, berkata, banyak bantuan yang diterimanya menerusi Pusat Khidmat DUN Lenggeng meringankan beban kewangan keluarganya.

Malah, ibu kepada empat cahaya mata itu berkata, siri Program Jualan Harga Ladang Nismilan Prihatin yang diadakan dari semasa ke semasa turut membantunya berjimat dalam perbelanjaan barangan makanan.

Dalam masa sama, ujarnya, jualan barangan keperluan dengan harga sehingga 30 peratus kurang daripada harga pasaran itu dapat membantunya mengurangkan kos bahan mentah untuk jualan di gerai.

“Saya berniaga nasi lemak, biasanya harga dalam RM1.50 sebungkus. Itu pun susah untuk saya kekalkan harga tersebut.

“Tapi kerajaan (Negeri Sembilan) selalu buat program jualan harga murah yang mana senang untuk saya dapatkan barang mentah,” katanya ketika ditemubual Harapan Daily hari ini.

Ramlahwati juga memberitahu beliau berpuas hati dengan khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lenggeng, Suhaimi Kassim terhadapnya.

“Memang wakil rakyat tugas mereka membantu masyarakat di kawasannya tapi YB (Suhaimi Kassim) lain daripada lain.

“YB layan kami macam kawan-kawan walaupun baru jumpa. Kebiasanya, Ustaz (Suhaimi Kassim) sendiri akan beri bantuan dari rumah ke rumah,” ujarnya.

Beliau menambah, Ketua AMANAH Seremban berkenaan sentiasa aktif melakukan khidmat hasil daripada iniasitifnya sendiri.

“Selain bantuan yang kerajaan beri, YB juga sentiasa memberi sayur-sayuran secara percuma.

“Biasanya beliau akan sewa satu lori dan YB sendiri akan agihkan sayur itu kepada kami,” ujarnya.

Beliau yang juga penerima asnaf Baitulmal menghargai jasa pihak pejabat ADUN Lenggeng yang sentiasa membantu penduduk kampung termasuk ketika berlakunya banjir.

“Pengalaman saya ketika banjir paling teruk 2021. Rumah, kereta dan motor habis ditenggelami air.

“Masa itu, pihak pejabat YB yang paling banyak memberi sumbangan berupa wang tunai, katil dan barang kelengkapan lain,” katanya.

Natasha

Sementara itu, Natasha Abdullah, 26, pula berharap agar rakyat terutamanya pengundi pada PRN Negeri Sembilan nanti dapat mengekalkan perkhidmatan Suhaimi di Lenggeng.

“Saya memang suka dengan cara YB santuni rakyat. Kalau boleh kita kekalkan kerajaan PH (Pakatan Harapan) yang sedia ada,” ujarnya.

BACA JUGA Nismilan Prihatin: ‘Ikan memang segar, harga telur pun murah’