Berehat politik: “Pak Ya kenal Azmin, jangan temberang itu hanya gimik”

Kenyataan Datuk Seri Azmin Ali bahawa beliau ingin berehat seketika daripada arena politik disifatkan sebagai gimik semata-mata, kata pengarah pilihan raya Pakatan Harapan (PH) Selangor.

Mohd Yahya Mat Sahri berkata bekas Ahli Parlimen Gombak itu disifatkan sebagai individu yang hanya pandai beretorik semata-mata.

Beliau yang juga Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR berkata, Azmin tidak perlu membuang masa untuk mencipta gimik menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi.

“Pak Ya kenal sangat Azmin, jangan nak temberang kerana itu hanya sebagai gimik dia sahaja untuk nak tengok persepsi masyarakat terhadap dirinya.

“Percayalah itu gimik semua usahlah bermain gimik murahan, buatlah gimik yang lain, stunt yang lain. Saya tidak nampak dia nak rehat,” katanya kepada Harapan Daily pada Rabu.

Beberapa hari lalu, Azmin yang juga wakil rakyat Bukit Antarabangsa mengumumkan untuk berehat sebentar daripada arena politik secara aktif dan mahu membuat perancangan baharu.

Menurut Mohd Yahya, kenyataan Azmin mengumumkan untuk berehat seketika daripada politik tidak lain hanya untuk meraih simpati.

Beliau turut mempersoalkan kenyataan pimpinan Perikatan Nasional (PN) Selangor yang tidak menolak kemungkinan mencalonkan Azmin sebagai Menteri Besar Selangor sekiranya menang PRN Selangor nanti.

“Azmin nak bertanding atas tiket apa? Azmin nak bertanding di kerusi mana? Hendak jadi Menteri Besar (MB) bagaimana jika kawasan dan parti pun tiada.

“Sesebuah parti politik harus menguasai negeri dahulu untuk menjadi MB sedangkan kawasan (Gombak) dia pun kalah,” katanya.

Sekiranya pada PRN kali ini Azmin tetap akan bertanding di DUN Bukit Antarabangsa sekalipun, beliau akan kalah teruk, kata Mohd Yahya.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan Azmin akan mencari kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) lain untuk bertanding dalam PRN nanti.

Tambahnya, ada juga pihaknya mengatakan Khairy Jamaluddin juga disebut-sebut mahu dinamakan sebagai Menteri Besar.

“KJ sibuk nak jadi Menteri Besar, dia nak bertanding atas tiket apa? Parti sendiri pun buang dia,” bidasnya.

Pada Pilihan Raya Umum ke-15, Azmin gagal mengekalkan kerusi Gombak setelah tumpas kepada calon PH, Datuk Seri Amirudin Shari yang juga Menteri Besar Selangor dengan majoriti 12,729 undi.

Berbanding PRU-14, beliau menang besar dengan majoriti 48,721 undi ketika masih memegang jawatan Timbalan Presiden PKR.

Azmin pernah memegang jawatan Menteri Besar menggantikan Tan Sri Khalid Ibrahim yang dipecat daripada PKR  pada tahun 2014.

Bagaimanapun, beliau melepaskan jawatan Menteri Besar selepas PRU-14 pada 2018 setelah dinamakan sebagai Menteri Hal Ehwal Ekonomi dalam Kabinet Tun Dr Mahathir Mohamad.

Pada 24 Februari 2020, beliau dipecat dari PKR bersama dengan Zuraida Kamaruddin setelah membawa keluar sebahagian Ahli Parlimen PH dari PKR dalam “Langkah Sheraton” yang menyaksikan kerajaan PH tumbang.

Beliau kemudiannya bersama-sama 11 bekas Ahli Parlimen PH menjadi Ahli Parlimen Bebas sebelum menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia.

Azmin dipilih menyertaikan Kabinet Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) sebagai Menteri Kanan, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri dan kekal jawatan sama dalam pentadbiran Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

BACA JUGA: PKR Selangor susun strategi kekalkan majoriti dua pertiga pilihan raya negeri