Kementerian Ekonomi fokus usaha tambah pendapatan golongan B40 – Rafizi
Kementerian Ekonomi akan menumpukan lebih banyak perhatian kepada usaha untuk menambah pendapatan golongan B40 menghadapi suasana ekonomi global yang tidak menentu tahun ini.
Menterinya Mohd Rafizi Ramli berkata, untuk itu tumpuan utama kementeriannya adalah bagi menangani kos sara hidup dan penjanaan pendapatan rakyat.
“Suasana ekonomi global yang dijangka menyederhana dan tumbuh pada kadar yang lebih perlahan dalam tahun 2023 akan mempengaruhi prestasi ekonomi negara. Pertumbuhan ekonomi dunia dijangka lebih perlahan pada kadar 2.9% dalam tahun 2023 berbanding 3.4% dalam tahun 2022
“Oleh itu, dalam keadaan pertumbuhan ekonomi global yang dijangka lebih perlahan dalam tahun 2023 dan pertumbuhan sukuan yang perlahan selama empat suku berturut-turut dalam tahun 2022 lalu, Kerajaan sedar keperluan untuk bersiap sedia menghadapi suasana ekonomi yang lebih mencabar.
“Program-program ekonomi yang memberi fokus kepada dua perkara pokok ekonomi rakyat, iaitu kos sara hidup dan pendapatan, akan diberi tumpuan utama dalam perancangan ekonomi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Ahli Parlimen Pandan itu lagi, Kementerian Ekonomi meletakkan kedua-dua perkara tersebut sebagai fokus penambahbaikan dasar-dasar ekonomi negara, dan program-program ekonomi rakyat yang mengambil pendekatan pelaksanaan bersepadu.
Sehubungan itu, katanya, dasar-dasar bersabit penggajian rakyat akan dibawa ke Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) yang dipengerusikan Perdana Menteri agar diselaraskan ke arah satu sasaran pertumbuhan gaji yang menyeluruh buat semua golongan pekerja.
Kementerian juga akan memperkenalkan Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) pada hujung Februari ini.
“Kementerian Ekonomi akan melancarkan program IPR yang bertujuan menambah pendapatan pada 26 Februari 2023. Sasaran pertama IPR adalah golongan miskin tegar dan keluarga B40 di seluruh negara.
“Kementerian Ekonomi akan mengimbangi tumpuan untuk menstrukturkan ekonomi negara dengan keperluan ekonomi rakyat berhubung kos sara hidup dan gaji yang lebih baik dalam merangka perancangan ekonomi,” katanya lagi.
Sebelum itu, Rafizi menyatakan keperluan Malaysia yang menyaksikan pertumbuhan 8.7% tahun lalu untuk berhati hati dalam mengemudi ekonomi tahun ini.
Katanya, amat perlu pertumbuhan berdasarkan suku tahunan 2022 diteliti untuk memahami keadaan semasa pergerakan ekonomi negara.
Beliau menjelaskan pertumbuhan tahun lalu sebenarnya menunjukkan penurunan dari 3.8% (ST1), 3.5% (ST2), 1.9% (ST3) dan -2.6% (ST4) 2022 dan peningkatan 8.7% itu adalah angka perbandingan daripada kemerosotan ekonomi yang buruk pada waktu Perintah Kawalan Pergerakan pada 2021 sebelumnya.
BACA JUGA Yakin kerajaan sedia alternatif bantu golongan miskin, elak keluarkan wang KWSP