Wan Ji tidak bersalah ajar agama tanpa tauliah, putus Mahkamah Syariah

Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam hari ini memutuskan penceramah agama, Wan Ji Wan Wan Hussin tidak bersalah di atas tuduhan mengajar agama Islam tanpa tauliah.

Wan Ji dalam satu posting di Facebook beliau memaklumkan, “Dalam tuduhan MENGAJAR AGAMA ISLAM TANPA TAULIAH, setelah diteliti segala penghujahan bahawa Mahkamah Syariah Shah Alam hari ini putuskan bahawa saya didapati TIDAK BERSALAH.”

Wan Ji telah ditahan Jabatan Agama Islam Negeri Selangor (Jais) kira-kira jam 9.45 malam Februari 2015 lalu atas dakwaan memberi ceramah tanpa tauliah.

Dia yang juga bekas ahli Jawatankuasa Dewan Ulama Parti Islam Se-Malaysia (Pas) cawangan Selangor ketika itu ditahan selepas memberi ceramah di sebuah masjid di Seksyen 17 Shah Alam, Selangor.

“Tadi saya mengajar kelas hadith hukum selepas Maghrib hingga 9.00 malam. Mereka (Jais) merekod segala ceramah saya tadi dan selepas ditahan saya dibebaskan atas jamin mulut (jaminan polis) daripada kawan saya.

“Saya perlu ke Ibu Pejabat Jais pada 23 Februari untuk membantu siasatan,” katanya kepada media.

Namun tidak diketahui apakah kes yang diputuskan Mahkamah Rendah Syariah hari ini ada kaitan dengan tangkapan 2015 lalu.

Harapandaily sedang berusaha untuk berhubung dengan Wan Ji mengenai hal ini.

 

BACA JUGA PMQT panaskan semua pihak lebih-lebih lagi pembangkang