Masalah kekurangan pekerja akan diatasi dalam 3 bulan

Masalah kekurangan pekerja asing dalam negara dijangka akan dapat diatasi dalam tempoh tiga bulan, kata Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar.

Beliau berkata kerajaan prihatin untuk menyelesaikan masalah ini dengan serta merta kerana menyedari bahawa keperluan tenaga kerja asing berada dalam keadaan amat terdesak, .

Oleh itu kerajaan Malaysia telah melaksanakan Pelan Kelonggaran Penggajian Pekerja Asing bagi mempercepat proses kelulusan permohonan kuota pekerja asing serta meluluskan penggajian pekerja asing bermula 17 Jan sehingga 30 Mac 2023 bagi sektor kritikal.

Lima sektor terlibat iaitu pembuatan, pembinaan, perladangan, pertanian, dan perkhidmatan, tetapi hanya untuk subsektor restoran sahaja.

“Majikan di bawah kelima-lima sektor atau subsektor tersebut boleh mengemukakan permohonan penggajian pekerja asing melalui platform Sistem Pengurusan Berpusat Pekerja Asing (FWCMS) di bawah modul FWe approval.

“Di bawah pelan kelonggaran penggajian pekerja asing, majikan-majikan yang memerlukan pekerja asing dibenarkan untuk menggajikan pekerja ini dari 15 negara sumber tanpa melalui melalui pra syarat penggajian dan kelayakan kuota yang dikenakan sebelum ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Lim Guan Eng (Bagan-PH) yang meminta kerajaan menyatakan usaha yang diambil untuk mempercepat kemasukan pekerja asing dan bilakah masalah kekurangan pekerja asing akan diatasi serta nyatakan kelonggaran yang diberikan kepada majikan.

Pada masa sama, Kementerian Sumber Manusia memberi jaminan akan memproses dan memberi kelulusan permohonan penggajian pekerja asing dalam tempoh 3 hari bekerja daripada tarikh permohonan diterima.