Menjelang PRN Negeri Sembilan: ‘Kerjasama PH-BN itulah hala tuju kita’

Kerjasama antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan bukan satu perkara yang mustahil.

Demikian pandangan Ketua Wanita PH negeri, Nicole Tan Lee Koon yang optimis terhadap ‘bayangan’ kerjasama antara kedua-dua parti politik itu.

”Saya sangat bersetuju kalau dapat bekerjasama. Ini kerana jika kerjasama itu terjalin, maka di Negeri Sembilan tiada pembangkang.

”Sekarang, kita ada 36 kerusi DUN (Dewan Undangan Negeri) di Negeri Sembilan. 20 kerusi milik PH dan 16 lagi kerusi kepunyaan BN. Perikatan Nasional (PN) pula langsung tiada kerusi.

”Jadi, kalau kerjasama itu betul-betul boleh dilakukan, ia bukanlah perkara yang mustahil. Saya amat positif untuk kerjasama itu dan merasakan itulah hala tuju kita,” ujar pemimpin DAP itu ketika ditemui Harapan Daily di Wisma Negeri, Negeri Sembilan, semalam.

Nicole Tan Lee Koon

Beliau berkata demikian apabila diminta mengulas mengenai pandangan sesetengah pihak bahawa Negeri Sembilan merupakan negeri model terbaik untuk melihat kerjasama antara PH dan BN pada PRN tidak lama lagi.

Mengulas lanjut, Nicole yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Kepayang, memaklumkan kemungkinan dalam masa terdekat pemimpin tertinggi parti akan bermesyuarat.

”Walaupun ada banyak permintaan untuk tidak mewakili pemimpin tertinggi, pada saya biarlah pemimpin tertinggi yang buat keputusan.

”Kita tunggu dulu. Saya rasa dalam masa terdekat, pemimpin tertinggi parti dan anggota akan bermesyuarat untuk memuktamadkan model kerjasama tersebut,” katanya lagi.

Nicole ketika ditemuramah Harapan Daily di pejabatnya. FOTO WAN ZAHARI WAN SALLEH

BACA JUGA Menjelang PRN Negeri Sembilan: ‘Wakil rakyat umpama Superman, Superwoman’