Program Saring Selangor diteruskan, manfaat 31 ribu penerima

Kerajaan Negeri akan meneruskan pelaksanaan Program Selangor Saring bagi tahun 2023 bertujuan untuk melaksanakan pencegahan penyakit melalui saringan dan pengesanan awal.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan Awam Negeri Selangor, Dr Siti Mariah Mahmud berkata peruntukan berjumlah RM2.6 juta telah diluluskan bagi pelaksanaan Program Selangor Saring dengan sasaran kali ini seramai 31 ribu penerima manfaat di kesemua 56 DUN

“Program Selangor Saring yang dilaksanakan pada tahun 2022 yang lalu telah menerima lebih 20,000 pendaftaran dan berjaya mengenal pasti 49% kes yang memerlukan tindakan susulan, konsultasi dan rawatan lanjut.

“Bagi tahun 2023, Kerajaan Negeri telah memperluaskan skop perkhidmatan kepada 3 kategori iaitu saringan telinga, pemeriksaan gigi dan perkhidmatan fisioterapi selain saringan asas yang lain,” katanya.

Menurut beliau, terdapat 5 kategori saringan dan perkhidmatan Selangor Saring tahun 2023 meliputi penyakit tidak berjangkit: penyakit jantung, kencing manis, darah tinggi dan buah pinggang; Penyakit kanser: kanser kolorektal, prostat, serviks dan payudara; Penyakit berkaitan mata: rabun, glaukoma dan retina; Saringan tambahan: pemeriksaan gigi dan telinga dan Perkhidmatan fisioterapi.

“Kerajaan Negeri menyeru penduduk negeri Selangor yang mempunyai faktor-faktor risiko seperti sejarah keluarga, berat badan berlebihan, gaya hidup yang tidak sihat serta mereka yang masih belum dikenal pasti oleh doktor mempunyai penyakit dinyatakan, untuk mendaftar ke Program Selangor Saring,” katanya.

Tambah Dr Mariah, Pendaftaran boleh dibuat menerusi aplikasi SELangkah bermula 15 Februari 2023, jam 2.00 petang.

Setiap pemohon, katanya, perlu melengkapkan borang saringan awal ketika proses pendaftaran bertujuan untuk mengenal pasti latar belakang serta faktor risiko pemohon. Individu yang layak akan menerima baucar untuk menjalani saringan kesihatan tanpa sebarang bayaran di lokasi dan tarikh yang ditetapkan.

Maklumat lanjut berkenaan Program Selangor Saring boleh didapati melalui laman sesawang selangorsaring.selangkah.my.

BACA JUGA Nismilan Prihatin: ‘Ikan memang segar, harga telur pun murah’