Yakin kerajaan sedia alternatif bantu golongan miskin, elak keluarkan wang KWSP

Wakil rakyat Rawang yakin bahawa kerajaan akan memberikan jalan yang lebih sesuai bagi mengurangkan beban rakyat tanpa perlu mengeluarkan tabungan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dalam pembentangan Belanjawan 2023 pada 24 Februari ini.

“Saya percaya kerajaan akan mencari kaedah lain bagi membantu meringankan beban rakyat yang terkesan akibat pandemik Covid-19.

“Saya turut yakin bahawa kerajaan akan utamakan isu kos sara hidup yang semakin menghantui rakyat sekarang,” kata Chua Wei Kiat dalam hantaran di Facebook.

Beliau berkata pihaknya menyokong penuh keputusan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang tidak membenarkan rakyat untuk membuat pengeluaran KWSP.

Jelasnya simpanan KWSP adalah suatu perkara yang penting bagi mengelakkan rakyat ditimpa kesusahan apabila bersara nanti.

“Sekiranya pengeluaran KWSP berlaku impak yang lebih besar iaitu bagaimana rakyat yang susah akan menghadapi hari-harinya selepas dia bersara nanti.

“Kalau sekarang kita berkali-kali memberi rakyat terutamanya yang miskin untuk mengeluarkan wang simpanan daripada KWSP, waktu bersara nanti pada usia 55 atau 60 tahun menyebabkan mereka tiada simpanan di dalam bank,” jelasnya.

Wei Kiat yang juga Timbalan Ketua Penerangan PKR berkata pengeluaran wang KWSP bukan mendapatkan kesan kepada negara malah melibatkan pelaburan kumpulan wang itu sendiri.

Terdahulu Presiden Persekutuan Majikan-majikan Malaysia (MEF), Datuk Dr Syed Hussain Syed Husman berkata, pihaknya menghargai keputusan Perdana Menteri untuk tidak membenarkan pengeluaran KWSP sebelum mencapai umur persaraan susulan hanya tiga peratus rakyat Malaysia mampu bersara dengan selesa.

BACA JUGA: PM: Cari jalan bantu kurang beban golongan susah, elak keluar wang KWSP