Zahid yakin RoS akan beri jawapan positif berkaitan usul jawatan tertinggi Umno tidak dipertandingkan

Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yakin akan menerima respon positif dari Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) berhubung usul tambahan untuk jawatan presiden dan timbalan presiden Umno tidak dipertandingkan pada pemilihan parti akan datang.

Usul tersebut diluluskan semasa perhimpunan Agung Umno baru-baru ini.

Beliau yakin bahawa RoS akan membalas surat Umno dengan kadar segera.

“Kita mempunyai tempoh 60 hari untuk RoS respon kepada kita. Saya yakin peraturan mesyuarat Umno, perlembagaan Umno telah diikuti sepenuhnya oleh Umno.

“Saya yakin sebelum tempoh 60 hari kami akan mempunyai jawapan yang positif dari pihak RoS,” katanya dalam sidang media di Dewan Rakyat hari ini.

Zahid yang juga ahli parlimen Bagan Datuk berkata segala penjelasan serta maklumat yang diperlukan sudah diserahkan oleh setiausaha agung Umno, Datuk Seri Ahmad Maslan kepada RoS.

“Terdapat klausa 9.3 dan 9.4 dalam perlembagaan Umno yang telah dijelaskan pada RoS.

“Keputusan yang telah dibuat termasuk untuk menambah usul yang dibentang oleh pembentang ucapan dasar tempoh hari, telah diteliti oleh pihak RoS dan juga oleh kumpulan peguam kami dan Setiausaha Agung Umno,” katanya lagi.

RoS memulakan siasatan ke atas perkara ini ekoran daripada aduan yang dibuat oleh dua ahli Umno pada 20 Januari ke atas usul tambahan tersebut.

Ahli Umno Kuala Nerus, Muhammad Aizat Fikri Mohd Nasir dan ahli Umno Seremban, Muhammad Fiqri Firdaus Muhammad Rom mahu RoS menentukan samada wujud pertikaian terhadap usul tambahan tersebut.

Majoriti perwakilan yang hadir pada perhimpunan agung parti itu menyatakan sokongan terhadap usul tambahan yang dicadangkan oleh wakil Umno Negeri Sembilan Mohd Shukri Shamsudin.