339 rakyat Malaysia mangsa jenayah penipuan pekerjaan

Seramai 339 rakyat Malaysia tersangkut di luar negara kerana menjadi mangsa jenayah penipuan pekerjaan, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Saifuddin Nasution Ismail ketika sesi pertanyaan menteri di Dewan Rakyat.

“Seramai 339 rakyat Malaysia berada di Laos Kemboja, Filipina, Thai dan Dubai di Emiriyah Arab Bersatu. Kita telah selamatkan 218 orang dan baki 121 terkandas. Tatkala saya menjawab soalan ini pasukan polis ke Negara Thai dalam misi menyelamat,” kata Saifuddin ketika menjawab soalan Sim Tze Tzin (Bayan Baru-PH).

Saifuddin turut menyatakan ciri-ciri berkaitan jenayah yang lebih dikenali dalam bahasa Inggeris sebagai ‘job scam’. Mangsa akan dilibatkan dalam ‘love scam’ dan ‘cryptocurrency scam’.

“Kementerian dalam Negeri dan Kementerian Luar Negara menghubungi kerajaan asing di tahap G2G (kerajaan ke kerajaan) dan P2P iaitu Polis Asean. Kita tentukan lokasi mereka, sahkan bilangan, selamatkan, deportasi dan kongsi hasil siasatan dan maklumat.

Menjawab soalan tambahan, beliau berkata usaha mengatasi jenayah ini diambil dengan mengambil kira dua aspek iaitu pencegahan dan penguatkuasaan.

“Laporan polis tertinggi pada bulan April tahun lepas. Bilangan kes yang dilaporkan menurun selepas itu. Dalam bulan Februari tahun ini ada satu kes dan bulan Januari, sembilan. Ini fungsi pencegahan.”

Saifuddin berkata dari sudut penguatkuasaan, sebanyak dua syarikat agensi pekerjaan telah dikenalpasti dalam negara dan lapan orang telah ditangkap.

Beliau turut mendedahkan empat profil mangsa yang telah diselamatkan iaitu seperti berikut:
a) mereka benar-benar tertarik dan memohon tapi setiba disitu ia indah khabar dari rupa
b) mereka tahu akan jadi scammer. Sekiranya berjaya mereka tak balik, sekiranya tidak mereka buat laporan
c) mereka pergi berjudi di luar negara dan tersangkut kerana tak dapat bayar hutang.
d) mereka yang telah diselamatkan kembali berjudi.

Sementara itu, menjawab soalan tambahan Takiyuddin Hassan (Kota Bharu-PN), Saifuddin berkata satu rang-rang undang-undang baru akan diperkenalkan dalam sidang dewan akan datang untuk mengatasi permasalahan ini.