8.1 juta ahli KWSP keluarkan RM145 bilion

Seramai 8.1 juta ahli telah membuat pengeluaran caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dalam empat siri pengeluaran sepanjang tempoh pandemik Covid-19 dan ini membentuk RM145 bilion yang telah dikeluarkan sepanjang tiga tahun lalu.

Timbalan Menteri Kewangan 1, Datuk Seri Ahmad Maslan turut berkata bahawa kerajaan membuat keputusan untuk tidak membenarkan pengeluaran wang persaraan tersebut memandangkan pandemik Covid-19 sudah tamat.

“Saya ingin maklumkan bahawa keseluruhan semasa Covid-19, 8.1 juta ahli buat pengeluaran KWSP dicampur semua sekali 4 pengeluaran, jumlahnya RM145 bilion

“Antara punca utama kenapa pengeluaran ini tak lagi dibenarkan, kerana Covid-19 sudah selesai. Kalau kita lihat moratorium pun sudah tidak ada.

“Satu lagi ialah subsidi khusus seperti Bantuan Subsidi Upah untuk majikan pun tiada lagi,” katanya dalam sidang media di Dewan Rakyat hari ini.

Bagaimanapun tegasnya, kerajaan tetap akan mencari jalan yang lain bagi membantu menyelesaikan permasalahan rakyat dalam pembentangan Belanjawan 2023 minggu depan.

Perincian empat siri pengeluaran:

Di bawah program I-Lestari, sebanyak RM20.8 bilion telah dikeluarkan oleh 5.3 juta ahli.

Bagi program I-Sinar, RM58.7 bilion dikeluarkan oleh 6.6 juta ahli. Manakala I-Citra pula melibatkan RM21.4 bilion oleh 5.2 juta ahli.

Pengeluaran khas pada April hingga Mei 2022 membabitkan RM44.6 bilion oleh 6 juta ahli.

Ahmad Maslan menambah, penyusutan median simpanan ahli KWSP berlaku begitu ketara daripada RM16.6 ribu kepada RM8.1 ribu. Ia berkurang sebanyak 50 peratus.

Selain itu, sebanyak 6.7 juta ahli atau 51.5 peratus dari 13.1 juta ahli berumur 55 tahun mempunyai simpanan kurang dari RM10,000.

Ahli di bawah umur 55 tahun di dalam kumpulan B40 dan M40 paling terjejas simpanannya.

Jurang simpanan antara kaum juga semakin meluas di mana tahap simpanan ahli bumiputera di bawah umur 55 tahun menunjukkan penurunan yang ketara dengan nilai median simpanan pada tahun 2022 sebanyak RM4.9 ribu, 3 kali lebih rendah berbanding median simpanan pada bulan April 2020 (RM15.5 ribu).

“Penurunan median simpanan 7 juta ahli Melayu adalah paling tinggi iaitu RM16.9 ribu (April 2020) menyusut kepada RM5.5 ribu pada 2022.

“Dari segi peratusan penurunan, 1.4 juta ahli bumiputera lain adalah yang paling terjejas dengan penurunan jumlah simpanan sebanyak 18 peratus daripada RM38 bilion kepada RM31 bilion.

Penurunan median simpanan sebanyak 70 peratus daripada RM10.6 ribu kepada RM3.3 ribu,” katanya lagi.

(BERITA PENUH)