Bandar Paling Bahagia: Bukti PH Negeri Sembilan peduli segenap lapisan rakyat

Tampin dan semua PBT menerima sumbangan RM5,000 daripada kerajaan negeri pada April 2022 selepas semua daerah di Negeri Sembilan diiktiraf sebagai Bandar Bahagia.

Pengiktirafan Tampin, Negeri Sembilan sebagai Bandar Paling Bahagia 2021 di negara ini adalah usaha dan sifat peduli daripada kerajaan negeri diterajui Pakatan Harapan (PH) dengan pelbagai inisiatif disediakan kepada masyarakat setempat.

Mengakui perkara itu, Ketua Penerangan Majlis Pimpinan Pakatan Harapan (MPPH) Negeri Sembilan, Abd Latif A Tambi berkata, Pakatan Harapan (PH) tetap menyalurkan peruntukan tanpa mengira wadah perjuangan individu atau kumpulan.

”Kerajaan negeri yang mengadakan semua ini. Pelbagai inisiatif diberikan kepada semua orang Tampin.

”Mereka nampak gembira. Kadang-kadang ramai masyarakat datang meminta pelbagai bentuk bantuan dan kita berikan kepada mereka.

Abd Latif A Tambi

”Tanpa mengira latar belakang kaum atau wadah perjuangan, semua akan dapat sama rata. Ini kerana kita (PH) telah diarahkan oleh Menteri Besar (Datuk Seri Aminuddin Harun) jangan membezakan masyarakat dengan wadah perjuangan mereka kerana semuanya rakyat Negeri Sembilan,” katanya.

Abd Latif ditemui Harapan Daily di Pusat Khidmat Masyarakat Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Gemencheh, semalam.

Beliau berkata demikian apabila diminta mengulas mengenai pengiktirafan daerah Tampin sebagai Bandar Paling Bahagia 2021.

Mengulas lanjut, Abd Latif yang juga Pengerusi MPPH Kawasan Tampin berkata, PH juga tidak akan menggunakan isu kepartian dalam menyalurkan peruntukan kepada rakyat.

Katanya, sesiapa sahaja yang datang meminta bantuan, akan dilayan seperti ‘seorang insan’.

”Kami (PH) lebih ke arah kebajikan membantu masyarakat untuk mencari sedikit ruang dan peluang sebagai bekalan ke akhirat kelak.

”Misalnya saya dapat peruntukan RM34,000 setiap bulan daripada kerajaan negeri, maka saya akan menggunakan jumlah tersebut untuk membantu rakyat.

”Tiada istilah 20 peratus untuk rakyat, 80 peratus untuk kita, malah kami tidak pernah mengurangkan timbangan,” ujarnya lagi sambil menambah kebaikan adalah untuk dikongsi bersama.

Terdahulu, Tampin dilapor mendapat skor tertinggi iaitu 99.5 peratus dalam Indeks Kebahagiaan 2021 bagi bandar di Malaysia oleh Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia), sekali gus dinobat Bandar Paling Bahagia.

Untuk rekod, Kerajaan Negeri Sembilan pimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun yang juga Pengerusi MPPH negeri, telah diberikan mandat bermula 9 Mei 2018 dengan pelbagai siri kejayaan dilakar.

BACA JUGA Banyak bantuan diperoleh, rakyat Negeri Sembilan mahu kekalkan PH