Bantuan Wang Ihsan (BWI) untuk mangsa banjir akan dipantau

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memberi jaminan akan memantau semula pemberian Bantuan Wang Ihsan (BWI) kepada mangsa banjir susulan dakwaan masih ada yang belum mendapat bantuan tersebut.

Beliau berkata, arahan telah pun dikeluarkan untuk mengenalpasti keluarga mangsa banjir yang masih belum mendapat bantuan BWI.

“Wang ihsan saya akan pantau, sebab janji kita sebelum mereka pulang (ke rumah) masing-masing, mereka perlu dapat dulu (bantuan).

“Koordinasi telah dilakukan dengan pihak jawatankuasa bencana peringkat daerah. Mungkin mereka belum dapat lagi tapi saya akan pantau. Arahan pun telah dikeluarkan,” katanya ketika sesi pertanyaan menteri di Dewan Rakyat pagi ini.

Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan dari Datuk Siti Zailah Yusoff (Rantau Panjang-PN) yang meminta kerajaan menyegerakan BWI kerana ada penduduk di kawasannya masih belum mendapat bantuan dijanjikan.

Sementara itu Zahid berkata, sepanjang tempoh banjir melanda negara, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) telah mengambil langkah proaktif menyalurkan bantuan lebih awal sebelum musim banjir tiba.

Beliau berkata, kerajaan mahupun NADMA tidak pernah ‘pilih kasih’ ketika memberi bantuan.

“Kita tak pilih kasih cuma prasangka sering dilemparkan kepada NADMA. Dalam soal menangani mangsa banjir, kita ketepikan warna-waena politik berbeza demi rakyat kawasan luar bandar terutamanya,” katanya.