Kerajaan Perpaduan satu rahmat besar, tiada parti boleh dakwa ‘abang long’

Oleh HELMI MOHD FOAD dan AMIRUL AZHAN

Kewujudan Kerajaan Perpaduan ketika ini dilihat sebagai satu rahmat apabila tiada parti dominan yang boleh mendakwa menjadi ‘abang long’ namun dalam masa sama kedudukan politik negara makin stabil.

Pengarah Pilihan Raya Pakatan Harapan (PH) Selangor Mohd Yahya Mat Sahri berkata penubuhan Kerajaan Perpaduan adalah suatu perkara yang baharu dan tidak pernah berlaku dalam mana-mana sejarah di negara ini.

“Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) tiada parti politik yang dapat mandat penuh atau majoriti untuk membentuk kerajaan dan pada saat itu pada saya itu sebagai satu rahmat besar buat Malaysia.

“Ini bukan suatu benda yang menghancurkan tetapi rahmat besar buat negara supaya kita dapat faham bahawa parti-parti politik kena akur kerana tiada sesiapa yang boleh mendabik dada bahawa dia adalah ‘abang long’ atau abang besar yang boleh buli orang sesuka hati,” katanya ketika diwawancara oleh Harapan Daily pada Rabu.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama anggota Kabinet Kerajaan Perpaduan hadir ke sidang Dewan Rakyat pada14 Februari 2023.  Foto SADIQ ASYRAF/Pejabat Perdana Menteri

Menurut Yahya, sebelum ini banyak melihat Barisan Nasional (BN) gemar membuli parti politik yang lain termasuk rakyat seolah-olah mereka berkuasa besar untuk mengawal semua perkara namun perkara itu tidak lagi wujud selepas PRU15.

Sementara itu, Mohd Yahya berkata pilihan raya umum lalu juga boleh diambil pengajaran daripada episod pengkhianatan yang berlaku dan kesannya pada PRU15.

“Akhirnya pada PRU15, rakyat sendiri telah menolak pengkhianat-pengkhianat ini dengan hukuman kekalahan,” ujarnya.

Untuk rekod, enam daripada 11 bekas Ahli Parlimen PKR yang mendalangi ‘Langkah Sheraton’ dan mencetus krisis politik berpanjangan dua tahun lalu, tewas dalam PRU15.

Mereka yang telah dihukum oleh rakyat ialah Datuk Seri Azmin Ali (Gombak), Datuk Zuraida Kamaruddin (Ampang), Datuk Mohd Rashid Hasnon (Batu Pahat), Datuk Kamarudin Jaffar (Bandar Tun Razak), Datuk Mansor Othman (Nibong Tebal) dan Baru Bian (Lawas).

Mohd Yahya berkata selepas PRU15 muafakat antara parti-parti bertanding adalah sangat penting bagi membolehkan kerajaan Persekutuan dapat ditubuhkan secara bersama dengan meletak kepentingan rakyat sebagai keutamaan.

“Ini adalah satu proses yang sangat baik kepada kita untuk mengajar bahawa sebenarnya kita boleh duduk bersama-sama.

“Inilah realiti di Malaysia yang merupakan sebuah negara yang terdiri daripada kepelbagaian kaum, maknanya kita tidak boleh duduk seorang diri.

“Sekiranya kita tengok gabungan keseluruhan (Kerajaan Perpaduan) ini menunjukkan daripada sudut perpaduan membawa kepada kestabilan politik, menuju ke hadapan serta ekonomi menjadi makmur dan berjalan dengan baik,” katanya.