Perluas tugas wanita mantapkan gerak kerja pilihan raya
“Tugas wanita dalam pilihan raya perlu diperluaskan dalam merangkan strategi kempen dan turun ke lapangan bagi memantapkan lagi gerak kerja pilihan raya.”
Lantang Ketua Angkatan Wanita Amanah Negara (AWAN) Negeri Sembilan, Norwani Ahmat bersuara apabila menegaskan pentingnya peranan kaum Hawa dihormati dalam musim pilihan raya.
Ibu kepada enam anak itu menegaskan bahawa sudah tiba masanya calon wanita daripada PH ditambah pada Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi.
Menurutnya, parti-parti gabungan PH perlu mencontohi DAP yang sudah bergerak ke hadapan memposisikan wanita seperti terbukti dengan adanya dua wanita DAP dalam kerajaan negeri sedia ada.
“AWAN sedia menyahut cabaran jika diberi peluang (bertanding). Macam semasa PRU15 lepas, hanya dua orang wanita yang menjadi calon.
“Padahal, Negeri Sembilan ini semangatnya Adat Perpatih yang mengutamakan kepentingan wanita,” ujarnya.
Beliau berpendapat keterlibatan wanita mampu melonjakkan lagi prestasi kerajaan Negeri Sembilan seperti terbukti dilakukan oleh Exco Hal Ehwal Wanita dan Kebajikan Negeri Sembilan, Nicole Tan Lee Koon menerusi program Power House Wanita Gemilang (PH GEM) sejak tahun 2018.
“Di bawah partisipasi yang ditunjukkan oleh penyelia-penyelia PH GEM (Power House Wanita Gemilang), pendapatan wanita dapat dijana.
“Program-program PH GEM ini yang menyeluruh bertujuan meningkatkan taraf ekonomi dan kemahiran diri, kesihatan, pendidikan, alam sekitar dan hak asasi merangkumi kesemua kawasan Parlimen,” katanya.
Mengulas lanjut, bekas calon Pakatan Harapan (PH) bagi Parlimen Jempol pada Pilihan Umum Raya ke-15 (PRU15) itu berharap agar kepimpinan mempertimbangkan penambahan bilangan kerusi calon wanita bagi PRN nanti.
“Selari dengan agenda PH, saya mengharapkan sembilan kerusi atau 30 peratus kerusi DUN khas untuk calon wanita.
“Tetapi melihat pada pelbagai sudut, saya menyasarkan calon wanita perlu diletakkan sekurangnya di enam kerusi,” katanya ketika ditemuramah di Pejabat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Lenggeng.
Sehubungan itu, Wanita PH Negeri Sembilan, jelasnya, mewujudkan simulasi sidang DUN wanita sebagai pendedahan awal kepada aspek kepimpinan.
“Hasil daripada simulasi sidang tersebut, kita telah berjaya melahirkan seorang calon wanita pada PRU15.
“Pada saya, jika mahu wanita berpartisipasi dalam politik, wajar mereka diberi ruang menjadi calon,” tambahnya lagi.
BACA JUGA Banyak bantuan diperoleh, rakyat Negeri Sembilan mahu kekalkan PH