PRN: PH yakin kuasai 40 kerusi DUN Selangor, kekal majoriti dua pertiga

Pakatan Harapan (PH) yakin mampu memenangi tidak kurang daripada 40 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-15 yang dijangka berlangsung pertengahan tahun ini.

Pengarah Pilihan Raya PH Selangor, Mohd Yahya Mat Sahri berkata unjuran ini berdasarkan kepada keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di mana PH diyakini mampu untuk terus mentadbir kerajaan negeri.

“Secara realitinya kalau kita tengok di enam kerusi Parlimen yang kita kalah, kalau kita plotkan daripada 56 DUN kita tetap dapat dua pertiga.

“Maknanya PH dapat 40 kerusi kemudian BN menang dua kerusi dan selebihnya adalah PN,” katanya kepada Harapan Daily ketika ditemui di Kuala Lumpur semalam.

PRN dijangka berlangsung kurang daripada enam bulan lagi akan membabitkan negeri Selangor, Terengganu, Kelantan, Kedah, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan.

Tempoh penggal lima tahun bagi enam negeri berkenaan akan berakhir pada Mei depan.

Menjelaskan lebih lanjut, Mohd Yahya memberitahu, sekiranya penggabungan antara PH dan BN dapat dilakukan bagi mendepani PRN Selangor nescaya PN akan berputih mata di negeri itu.

“Kalau kita kali ini secara matematiknya bertanding secara perpaduan maksudnya PH dan BN bersama melawan PN, saya kira PN tiada kerusi yang boleh menang kecuali DUN Sijangkang.

“Itupun kalau kita bergabung maka mereka (PN) sendiri agak sukar di situ dan tidak mudah secara realitinya.

“Nanti saya kata PN tidak menang langsung kata ikut cakap Khir Toyo ‘zero opposition’,” katanya.

Untuk rekod dalam kempen pilihan raya umum 2008, Dr Mohd Khir Toyo yang ketika itu Menteri Besar melaungkan sasaran ‘pembangkang sifar’ di Selangor.

Namun Pakatan Rakyat ketika itu membuat kejutan apabila buat pertama kali menumpaskan BN apabila memenangi 36 kerusi. BN pula tinggal 20 kerusi DUN.

Dalam pada itu, Mohd Yahya berkata pengundi baharu atau pengundi pertama kali perlu diberi perhatian di Selangor memandangkan mereka juga merupakan faktor penentu keputusan PRU15 yang akhirnya menyebabkan beberapa kerusi selamat telah tewas.

“Jika kita tengok keseluruhan pengundi Selangor yang keluar mengundi ada lebih kurang 2.8 juta pengundi dan daripada jumlah itu 800,000 adalah pengundi baru.

“Realitinya di peringkat PH, kita menghadapi masalah dekat situ sebab kita hanya dapat lebih kurang 200,000 lebih undi sahaja sedangkan selebihnya kepada PN sama ada Bersatu atau Pas,” katanya.

Bagaimanapun, beliau yang juga Pengarah Operasi Pilihan Raya PKR Selangor berkata, beliau cukup yakin dengan kebijakan rakyat Selangor yang terus memberikan sokongan dan kepercayaan terhadap pentadbiran pimpinan PH sama ada di peringkat negeri atau Pusat.

“Apa yang sedang kerajaan negeri laksanakan di bawah kepimpinan Datuk Seri Amiruddin Shari disokong pula dengan prestasi yang ditunjukkan oleh Kerajaan Perpaduan sekarang pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim, saya kira rakyat sangat berpuas hati dengan prestasi pengurusan dan pentadbiran kerajaan,” ujarnya.

BACA JUGA: Kerajaan Perpaduan satu rahmat besar, tiada parti boleh dakwa ‘abang long’