Belanjawan 2023 perlu tumpu tambah baik kebajikan M40 bawahan
Rakyat M40, khususnya golongan M40 bawahan perlu diberikan perhatian khusus dalam Belanjawan 2023 yang akan dibentangkan tidak lama lagi.
Bantuan seperti sumbangan tunai “cash handout” diharapkan dapat diperluas kepada golongan M40 bawahan dan beberapa pembaharuan cukai dapat diperkenalkan.
Oleh sebab itu, saya menyambut baik kenyataan Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli untuk mengkaji semula kumpulan pendapatan isi rumah dalam negara ini berdasarkan perubahan struktur pendapatan dan perbelanjaan rakyat, kos sara hidup dan kuasa beli bagi memastikan bantuan kerajaan yang lebih bersasar.
Golongan M40 sering dianaktirikan sebelum ini, terutamanya mereka yang berpendapatan bawah kadar pendapatan penengah M40.
Walaupun mereka adalah pembayar cukai yang setia, kita lihat dua kerajaan terdahulu tidak begitu berminat mengurangkan beban golongan ini.
Namun, saya percaya kerajaan Madani pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim lebih prihatin terhadap kesulitan yang dialami kumpulan terbabit.
Justerus, sistem percukaian yang lebih prihatin perlu diperkenalkan dalam Belanjawan 2023 iaitu:
(1) potongan kadar cukai yang bermakna
(2) pengecualian cukai atas bonus serta;
(3) pengenalan kurungan pendapatan (income bracket) yang lebih lebar supaya kadar cukai efektif atas golongan M40 bawahan dapat dikurangkan.
Tiga kaedah pembaharuan cukai ini dapat menyuntik tunai ke dalam poket rakyat M40 yang memerlukan.
Ramai pakar ekonomi berpendapat kadar cukai atas M40 adalah tidak selari dengan pendapatan mereka dan sepatutnya, dikurangkan.
Pada masa yang sama, saya melihat keperluan bonus yang diterima rakyat M40 bawahan perlu dikecualikan cukai.
Jika ini dilaksanakan ini, kita dapat membantu mereka meningkatkan pendapatan boleh guna atau kuasa beli, yang seterusnya dapat mewujudkan kesan pengganda “multiplier effect” untuk ekonomi.
Sejak Kerajaan Perpaduan dibentuk, kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim ini telah melaksanakan pelbagai pembaharuan yang penting.
Momentum ini perlu dipertingkatkan melalui Belanjawan 2023 dengan mengangkat kebajikan golongan M40, terutamanya M40 bawahan.
*FAIZ FADZIL merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang Pasir, Pulau Pinang merangkap Jawatankuasa Pimpinan AMANAH Nasional.
BACA JUGA Pemulihan ekonomi perlu pedulikan golongan M40
Â