Isytihar kerusi Batang Kali kosong ikut enakmen, undang-undang tubuh negeri – MB
Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari mempertahankan keputusan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor Ng Suee Lim mengisytiharkan kekosongan kerusi Batang Kali berkuat kuasa pada 28 Januari lalu.
Beliau menegaskan, pihak speaker telah meneliti segala enakmen, Undang-Undang Tubuh negeri dan peraturan tetap DUN sebelum mengambil keputusan terhadap Harumaini Omar.
“Setakat ini keputusan speaker adalah muktamad dan mungkin dia (wakil rakyat) perlu dapat balik perjanjian, kalau hendak pergi mahkamah dan sebagainya itu hak beliau, masih ada hak dalam Perlembagaan.
“Bagi kita cuma jalankan tugas, beliau gagal memaklumkan secara munasabah terhadap ketidakhadiran selama enam bulan berturut-turut, secara automatik kalau kita tidak ada lakukan sidang dalam enam bulan tanpa ada sebab seperti darurat.
“Kalau sakit perlu ada sijil sakit (MC) daripada doktor, kalau ada tugasan perlu maklum secara langsung, itu pun perlu hadir,” katanya kepada pemberita selepas majlis pecah tanah projek Rumah Idaman di Kwasa Damansara, Petaling Jaya pada Jumaat.
Amirudin menjelaskan salah satu tanggungjawab wakil rakyat ialah mesti hadir sidang DUN dan menjadi penggubal undang-undang dan berbahas.
“Itu tanggungjawab yang perlu dilaksanakan,” katanya.
Dalam hal ini, katanya pihak terbabit boleh mengambil langkah susulan untuk mendapatkan hak beliau sekiranya merasa terainiaya.
“Saya sudah tanya kepada Speaker, dia beranggapan wakil rakyat tidak memaklumkan secara munasabah ketidakwujudan mereka, ketidakhadiran enam bulan berturut-turut, itu ada dalam enakmen dan undang-undang tubuh.
“Jadi kita ikut undang-undang dan peraturan,” katanya.
Semalam Speaker mengisytiharkan kerusi Batang Kali sebagai kosong akibat kegagalan wakil rakyat hadir ke sidang DUN Selangor dalam tempoh enam bulan.
Suee Lim berkata memberitahu tarikh akhir kehadiran wakil rakyat terbabit ke sidang DUN adalah pada 27 Julai 2022 berdasarkan rekod penyata rasmi dan buku kehadiran.
Tempoh enam bulan dikira bermula dari 28 Julai tahun lalu, maka mengikut Perkara LXIX Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959, tempoh ketidakhadiran beliau melebihi enam bulan.
Perlucutan kerusi itu adalah kekal dan keputusan tersebut tidak boleh dirayu.
Harumaini menang di Batang kali pada Pilihan Raya Umum ke-14 sekali gus menumpaskan dua calon lain termasuk penyandang kerusi Mat Nadzari Ahmad Dahlan (BN) dan calon PAS Mohd Hasnizan Harun.
Beliau memenangi kerusi itu dengan majoriti 8,315 apabila memperoleh 21,536 undi berbanding 13,221 yang dipungut Mat Nadzari.
Apabila Bersatu meninggalkan Pakatan Harapan (PH) pada Februari 2020, Harumaini tidak ikut serta sebaliknya menyertai Pejuang.
BACA JUGA: Kerusi DUN Batang Kali diisytihar kosong, ADN ‘menghilang’ 6 bulan
Â