Jangan gugur mana-mana, PH Negeri Sembilan wajib pertahan 20 kerusi

Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan wajib mengekalkan kemenangan di 20 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi.

Ketua Angkatan Wanita Amanah Negara (AWAN) Norwani Ahmat berkata, tekad yang bersandarkan prestasi dan khidmat yang terbaik diberi kepada rakyat sejak 2018 itu perlu bagi mempertahankan kerajaan negeri.

“Kerusi yang dimenangi Pakatan Harapan wajib dipertahankan dan kita tidak mahu gugur lagi mana-mana kerusi (DUN),” kata pemimpin AMANAH itu ketika ditemui Harapan Daily di Pusat Khidmat DUN Lenggeng, kelmarin.

Beliau yang juga Ketua AMANAH Rembau itu berkata demikian apabila ditanya mengenai persiapan jentera pilihan raya termasuk kerjasama PH dan Barisan Nasional (BN) bagi menghadapi PRN.

Ahli Jawatankuasa AWAN Nasional tersebut juga menambah, wanita PH negeri akan mengadakan siri pertemuan melibatkan pimpinan wanita BN bagi tujuan mengukuhkan kerjasama kedua-dua blok parti itu.

“Kami telah merangka bersama untuk mengadakan Hi-Tea Perpaduan Wanita yang melibatkan 80 orang terdiri daripada pelbagai parti termasuk MCA dan MIC.

“Perkenalan secara tidak rasmi dibuat kerana jentera-jentera inilah yang akan bekerjasama dalam PRN nanti,” katanya.

Dalam masa sama, bekas calon PH bagi Parlimen Jempol pada Pilihan Umum Raya ke-15 (PRU15) tahun lalu itu turut menggesa bakal calon melibatkan diri malah aktif dalam media sosial.

“Mahu atau tidak, calon wajib untuk aktif dalam media sosial terutamanya Tiktok. Kita perlu belajar mengikut trend semasa.

“Melalui media sosial inilah, ia dapat membina naratif bagi menarik pengundi muda dalam PRN nanti,” tegasnya lagi.

BACA JUGA Perluas tugas wanita mantapkan gerak kerja pilihan raya