Jelajah Menu Rahmah Pahang: Ringankan kos sara hidup rakyat

Menu Rahmah telah melebarkan jangkauan pelaksanaannya di Pahang.

Menurut Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Senator Fuziah Salleh, inisiatif yang dipelopori oleh syarikat swasta secara sukarela itu telah mendapat tempat dalam kalangan pengusaha restoran di Kuantan, Pahang.

Katanya, kerajaan tidak pernah menghadkan harga jualan atau bahan bahan yang digunakan oleh peniaga untuk menu tersebut namun apabila hidangan dijual pada harga di bawah RM5 maka ianya dikira Menu Rahmah.

“Bagi premis yang telah menjual sesuatu hidangan atau menu pada harga RM5 atau ke bawah, mereka boleh menjenamakan semula menu itu sebagai Menu Rahmah.

“Kerajaan amat mengalu-alukan premis yang bersedia mengurangkan harga menu sedia ada ditawarkan di premis mereka kepada harga Menu Rahmah tanpa mengubah kuantiti dan kualiti hidangan tersebut.

“Berdasarkan maklumbalas daripada peniaga yang telah mengikut serta inisiatif ini, Menu Rahmah telah dijadikan model perniagaan dan bahan promosi untuk menarik pelanggan ke premis perniagaan. Dengan itu mereka dapat meningkatkan pendapatan di mana peningkatan kuantiti jualan dapat menampung pengurangan margin, juga pada masa sama ‘bersedekah’ kepada mereka yang memerlukan,” katanya menghadiri jelajah Menu Rahmah di Restoran Taj, Kuantan, Pahang hari ini.

Berdadarkan rekod, kata Fuziah, sehingga 16 Februari 2022 sejumlah 18 premis telah mendaftar di direktori Menu Rahmah dan menyahut seruan Kerajaan untuk melaksanakan menu tersebut secara sukarela di Pahang.

Oleh itu, pihak KPDN menyeru lebih ramai lagi pemain industri khususnya pengusaha restoran dapat bersama-sama berganding bahu dengan kerajaan bagi menjayakan aspirasi berkenaan.

“KPDN mengucapkan terima kasih kepada semua pengusaha restoran yang telah menyahut seruan kerajaan menyediakan Menu Rahmah kepada rakyat.

“Kerajaan akan membantu mempromosi premis yang menyediakan Menu Rahmah dalam portal Kementerian untuk di akses rakyat sebelum membuat keputusan mengunjung ke premis berdekatan dan pilihan mereka serta keluarga,” katanya lagi.

Untuk mendapatkan direktori Menu rahmah orang ramai boleh melayari pautan https://menurahmah.kpdn.gov.my dan media sosial KPDN Laman Rasmi untuk mengetahui lokasi inisiatif Menu RAHMAH di seluruh negara.

Bagi sebarang pertanyaan lanjut berhubung program-program di bawah Payung Rahmah, pihak pemain industri dan orang ramai boleh menghubungi Sekretariat Perdagangan Pengedaran dan Industri Perkhidmatan (SPIP) di talian hotline 03- 8882 5881/ 5905 atau melalui emel kepada spip@kpdn.gov.my.

BACA JUGA Bos besar Mydin sangkal Halimah, harga murah tak bermakna penjual turunkan kualiti makanan