Kecekapan tadbir urus, PH optimis menang dalam PRN Negeri Sembilan

Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan optimis akan memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) berikutan tadbir urus yang sangat baik di negeri Adat Perpatih itu.

Ketua Penerangan Majlis Pimpinan Pakatan Harapan (MPPH) negeri, Abd Latif A Tambi berkata kesemua 64 inisiatif daripada kerajaan negeri, sampai kepada masyarakat.

”Di negeri ini kami yakin boleh memenangi PRN nanti kerana tadbir urus Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun yang dilihat amat baik.

”Ini kerana inisiatif yang disediakan untuk membantu rakyat semuanya sampai ke bawah (masyarakat).

”Secara keseluruhannya ada 64 inisiatif. Semuanya sampai kepada mereka. Daripada golongan budak sekolah hingga orang tua, masing-masing ada peruntukan tersendiri,” katanya kepada Harapan Daily ketika ditemui di Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Gemencheh, kelmarin.

Abd Latif berkata demikian apabila ditanya tentang pandangannya mengenai PRN yang bakal diadakan tidak lama lagi.

Beliau yang juga Penyelaras DUN Gemencheh menyifatkan, inisiatif yang diberikan kerajaan negeri berupaya menawan hati pengundi.

”Saya merasakan kita boleh menang dengan inisiatif-inisiatif tersebut dan masyarakat pun ada cakap bahawa di Gemencheh ini kita juga boleh menang,” ujar beliau.

Untuk rekod, kerajaan negeri pimpinan Aminuddin Harun telah menyediakan sebanyak 64 inisiatif pelbagai bidang untuk memastikan kelangsungan hidup rakyat di negeri berkenaan.

Inisiatif sejak 2018 itu merangkumi pemerkasaan ekonomi rakyat, kebajikan, pendidikan, modal insan, pembangunan belia dan wanita serta pentadbiran.

BACA JUGA: PRN Negeri Sembilan: ‘Mesti keluar belanja, jangan berkira guna cara baharu’