MB, KM enam negeri bertemu minggu hadapan bincang tarikh pembubaran DUN

Kesemua Menteri Besar dan Ketua Menteri di negeri – negeri yang akan berdepan dengan pilihan raya negeri akan mengadakan pertemuan untuk membincangkan tarikh pembubaran Dewan Undangan Negeri.

Negeri-negeri tersebut adalah Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan, Kedah, Kelantan dan Terengganu.

Perkara ini disahkan oleh Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow dan usaha ke arah pertemuan ini diusahakan oleh Menteri Besar Selangor, Datuk Amirudin Shari, lapor laman sesawang berita Malay Mail.

“Kami akan berjumpa pada minggu depan dan berbincang berkenaan tarikh pembubaran dewan undangan negeri supaya pilihan raya negeri boleh diadakan,” kata Chow selepas merasmikan Augmented Reality Park di Pulau Pinang.

Beliau berkata bahawa tempoh waktu untuk membubarkan DUN semakin dekat.

“Tanpa pertemuan pun, ia akan berlaku dalam bulan Jun atau Julai,” kata beliau.

Keenam-enam negeri tidak membubarkan DUN apabila Dewan Rakyat dibubarkan.

Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan dikuasai oleh Pakatan Harapan manakala Kedah, Kelantan dan Terengganu dikuasai oleh Perikatan Nasional.

BACA JUGA: Kecekapan tadbir urus, PH optimis menang dalam PRN Negeri Sembilan