Mendiang Dr Chen Man Hin, doktor veteran tempatan yang layak diberi pengiktirafan

Baru-baru ini Kerajaan Negeri Sembilan bersetuju untuk menukar nama dua jalan utama di bandar Seremban kepada nama dua tokoh tempatan iaitu Allahyarham Datuk Sheik Mohd Murtadza dan mendiang Dr Chen Man Hin.

Tokoh pertama begitu terkenal sebagai bekas Mufti Negeri Sembilan manakala yang kedua merupakan veteran DAP yang juga doktor yang berkhidmat di bandar itu sehingga hujung hayatnya.

Walaupun kedua-dua nama itu diberi pengiktirafan yang sama, namun segelintir masyarakat hanya tumpu kepada mengkritik perbuatan menukar nama Jalan Temiang kepada Jalan Dr Chen Man Hin.

Antara kritikan pedas yang diberikan, contohnya daripada ISMA Malaysia, yang sering dikaitkan dengan Parti Islam Se-Malaysia (PAS) adalah menukar nama ini seakan “satu proses mengasak secara halus untuk mengubah identiti negara” ataupun seolah ia bertentangan dengan agama persekutuan dan “seharusnya negara mesti selari dengan syiar, simbol, imej dan identitinya”.

Kritikan sebegini membangkitkan tanda tanya yang harus dipandang serius.

Oleh kerana ia mampu mengelirukan masyarakat Malaysia yang ternyata majmuk dari zaman Merdeka lagi.

Mungkin kepada para pendukung yang sayangkan perkauman, kepelbagaian ini satu benda yang pelik tetapi secara realitinya, ia bukan idea baru.

Apakah menghormati seorang doktor tempatan yang mencurahkan baktinya kepada komuniti suatu perkara yang salah?

Mendiang Dr Chen Man Hin, membuka kliniknya di Seremban sejak tahun 1950-an kepada rakyat marhaen, terutamanya bagi mereka yang fakir miskin.

Kliniknya, yang terletak di Jalan Tuanku Munawir sampai hari ini masih memberi perkhidmatan perubatan yang percuma bagi mereka yang tidak mampu.

Itu ialah legasi sebenar mendiang Dr Chen yang langsung tidak diberi perhatian oleh mereka yang tidak pentingkan kebajikan orang lain tetapi hanya sentimen kaum dan agama.

Lebihan lagi, apakah meletakkan nama mendiang, seorang yang berbangsa Cina satu perkara yang mengganggu sensitiviti masyarakat?

Kita patut sokong usaha kerajaan negeri yang melakukan anjakan paradigma mengiktiraf tokoh tak kira bangsa.

Taktik menyorok belakang eufemisme ‘menjaga sensitiviti’ hanya kerana kita tidak mahu lihat tokoh berlainan bangsa mendapat pengiktirafan ialah memualkan.

Serupa dengan keinginan kita yang mahu bangsa lain terus tersorok dan terus mengekalkan status quo.

Biarlah kita angkat sosok masyarakat yang layak diberi pengiktirafan.

Mendiang Dr Chen Man Hin mendedikasikan hidupnya kepada khidmat, selaras dengan perjuangan DAP selama ini. Jangan kerana ingin memajukan agenda perkauman, kita lupa akan jasa beliau.