Miliki kediaman selesa di Kwasa Damansara, 4,694 unit Rumah Idaman dibina – MB
Sebanyak 4,694 unit rumah mampu milik di bawah projek Rumah Selangorku Idaman akan dibina di Kwasa Damansara, Kota Damansara bagi membantu rakyat memiliki kediaman pertama yang selesa.
Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari memberitahu kediaman berkeluasan 1,000 kaki persegi dilengkapi tiga bilik tidur serta pelbagai kemudahan lain bakal dijual pada harga mampu milik RM250,000.
Projek yang dibangunkan Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) bersama anak syarikat Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Kwasa Land Sdn Bhd dibina di atas tapak seluas 39.12 ekar dijangka siap menjelang 2026.
“Ini merupakan projek Rumah Idaman pertama tahun ini. Rumah yang ditawarkan mempunyai kemudahan dan kelengkapan seperti dua parkir, pendingin hawa, pemanas air, kabinet dapur, peti sejuk dan televisyen
“Peringkat awal pembinaan rumah ini di Kajang, ada tanggapan boleh atau tidak kita lakukan atau hanya slogan atau janji.
“Alhamdulillah hari ini kepercayaan makin tinggi dan kita buktikan dengan beberapa pembangunan,” katanya selepas merasmikan Majlis Pecah Tanah Rumah Idaman Kwasa Damansara pada Jumaat.
Amirudin berkata pembangunan rumah kategori ini bertujuan memperbaiki keadaan tempat tinggal pendududuk terutama di kawasan bandar.
“Lokasi juga mudah diakses dengan pelbagai kemudahan antaranya lebuh raya utama, hospital, sekolah, pusat pengajian tinggi, pengangkutan awam, pasar raya dan pusat komersial,” katanya.
Projek tersebut merupakan fasa pertama pembangunan rumah mampu milik yang dijangka siap menjelang tahun 2026 dan bakal menampung kira-kira 20,000 penduduk.
Dalam kenyataan dikeluarkan firma-firma pemaju projek itu menyebut Kwasa Land akan memperuntukan 40 peratus daripada jumlah perumahan di perbandaran itu untuk rumah mampu milik sekali menyaksikan kira-kira 10,000 daripada 25,000 unit adalah untuk kategori tersebut.
Rumah Idaman merupakan inisiatif Kerajaan Negeri menerusi Iltizam Selangor Penyayang (ISP) bagi membantu keluarga kategori B40 membeli rumah pada harga mampu milik.
Projek perumahan tersebut dilaksanakan di beberapa lokasi antaranya Kajang, Bangi, Shah Alam, Cyberjaya dan Semenyih.
BACA JUGA: Anak Selangor lahir tahun ini nikmati insentif 5 tahun