PH sedia tempur PRN Negeri Sembilan, tidak berdepan masalah persiapan

Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan kini sudah bersedia untuk bertempur menghadapi saingan Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan diadakan tidak lama lagi.

Ketua Wanita PH negeri, Nicole Tan Lee Koon memaklumkan, minggu ini beliau akan mengadakan mesyuarat pertama jentera parti yang berkaitan dengan PRN.

Nicole ketika ditemuramah Harapan Daily. Foto WAN ZAHARI WAN SALLEH

”Dalam minggu ini, saya akan mengadakan mesyuarat pertama jentera PRN Negeri Sembilan bersama-sama juga dengan cawangan Parti Tindakan Demokratik (DAP).

”Ketika Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang lalu, kita sudah buat banyak kerja seperti membantu Ahli Parlimen Rasah (Cha Kee Chin) kerana Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Kepayang berada dalam Parlimen Rasah.

”Untuk makluman, di situ kita telah membuat raptai untuk menghadapi PRN akan datang. Jadi daripada segi persiapan, saya merasakan ianya tiada masalah malah kami sudah bersedia,” ujar pemimpin DAP itu ketika ditemui Harapan Daily di Wisma Negeri, Negeri Sembilan baru-baru ini.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kepayang berkata demikian apabila diminta mengulas mengenai persediaan jentera PH untuk menghadapi PRN di negeri yang terkenal dengan Adat Perpatih itu.

Terdahulu, Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun dilapor berkata, Negeri Sembilan akan membubarkan DUN pada 1 Jun depan, sekali gus memberi laluan kepada penganjuran PRN.

Selain Negeri Sembilan, lima negeri bakal terlibat dalam PRN iaitu Kelantan, Terengganu, Kedah, Selangor dan Pulau Pinang berikutan masing-masing tidak membubarkan DUN pada PRU15 yang lalu.

BACA JUGA Menjelang PRN Negeri Sembilan: ‘Kerjasama PH-BN itulah hala tuju kita’