PRN Negeri Sembilan: ‘Mesti keluar belanja, jangan berkira guna cara baharu’

”Kita tidak boleh lagi guna cara lama dan tidak mahu mengeluarkan belanja untuk cara baharu.”

Itu tegas Ketua Penerangan Majlis Pimpinan Pakatan Harapan (MPPH) Negeri Sembilan, Abd Latif A Tambi yang melihat kepentingan media sosial dalam berkempen, seiring dengan peredaran zaman.

Mengakui ia memerlukan belanja yang banyak, namun Abd Latif berkata, mahu atau tidak, media sosial perlu digunakan pada ketika ini.

”Setiap platform di media sosial perlu dimanfaatkan sepenuhnya jika Pakatan Harapan (PH) ingin memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti.

”Kita kena buat sama atau lebih baik daripada Perikatan Nasional (PN) yang menggunakan platform seperti itu, apatah lagi sekarang kita adalah kerajaan.

Abd Latif A Tambi

”Di Parlimen Tampin kita ada 22,000 pengundi baharu. Pengundi anak muda lebih terarah kepada berita daripada gajet dan mereka juga akan menyokong mana-mana yang berkait dengan mereka,” jelasnya.

Beliau berkata demikian kepada Harapan Daily ketika ditemui di Pusat Khidmat Masyarakat Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Gemencheh, semalam.

Beliau mengulas demikian apabila ditanya mengenai pendekatan menggunakan media sosial yang popular pada masa kini, terutamanya dalam berkempen menjelang pilihan raya.

Mengulas lanjut, Abd Latif yang juga Pengerusi MPPH Kawasan Tampin turut mengingatkan agar ‘jangan berkira’ mengeluarkan modal untuk kebaikan sesuatu perkara.

”PN menggunakan artis dan pelbagai orang untuk mempromosikan parti mereka dan saya lihat ianya memang berhasil.

”Misalnya, kita nak sesuatu yang ‘besar’, tapi keluarkan modal yang kecil. Itu tak boleh. Ianya kena bermula daripada sekarang.

”Guna peluang yang ada, kalau betul gayanya, insyaAllah kita boleh menang di PRN nanti,” katanya lagi.

BACA JUGA Perluas tugas wanita mantapkan gerak kerja pilihan raya