Selangor sasar bina 60,000 unit rumah menjelang 2025

Kerajaan negeri Selangor mensasarkan pembinaan sebanyak 60,000 unit kediaman menjelang tahun 2025.

Exco Perumahan, Kesejahteraan Bandar dan Pembangunan Usahawan Selangor, Rodziah Ismail berkata Rumah Selangorku telah menjadi suatu jenama perumahan mampu milik yang dikenali oleh seluruh rakyat di negeri tersebut sehingga menyebabkan jumlah permintaan aktif kini melebihi penyediaan.

“Setakat 1 Februari 2023, sebanyak 83,603 permohonan aktif direkodkan berbanding 50,036 yang telah ditawarkan di pasaran.

“Kerajaan negeri melalui Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) yakin sasaran ini dapat dicapai bagi memastikan hasrat setiap keluarga di Selangor untuk memiliki sebuah rumah dapat direalisasikan,” katanya pada sidang media di Hotel Pullman, Bangsar, semalam.

Rodziah berkata untuk tahun ini sahaja, sebanyak 7,500 unit kediaman dijangka akan siap dibina menerusi Rumah Selangorku sebelum kunci diserahkan kepada pemilik.

Sementara itu beliau berkata dasar Rumah Selangorku 3.0 turut ditambah baik untuk memastikan ia terus relevan diaplikasikan dalam industri hari ini.

“Ia selaras hasrat kerajaan negeri untuk menyediakan rumah mampu milik bagi golongan sasaran dapat diteruskan pada waktu negara sedang dalam proses pemulihan ekonomi kesan daripada pandemik Covid-19 serta peningkatan harga bahan mentah akibat kelembapan ekonomi dunia sekarang.

“Kami juga mahu memenuhi permintaan majoriti daripada golongan pemohon belia di bawah umur 30 tahun yang rata-ratanya bujang dan masih baru dalam dunia pekerjaan di kawasan pusat bandar,” katanya.

Tambahnya, bilangan unit Rumah Selangorku turut akan diperbanyakkan di kawasan pusat bandar melalui peningkatan densiti per ekar kepada maksima 120 unit per ekar di seluruh negeri Selangor.

Dalam pada itu, kerajaan negeri turut akan menyelesaikan isu kesulitan pemilik rumah untuk menubuhkan persatuan penduduk melalui kaedah memasukkan kos urusan pindah milik ke dalam harga rumah.

BACA JUGA Bandar Paling Bahagia: Bukti PH Negeri Sembilan peduli segenap lapisan rakyat