SPR wartakan daftar pemilih tambahan Januari 2023, tempoh semakan hingga Mac
Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) telah memperakui senarai Daftar Pemilih Tambahan Januari 2023 (DPT BLN1/2023) dan mewartakannya hari ini.
Setiausahanya Datuk Ikmalrudin Ishak dalam kenyataan berkata daftar pemilih tersebut dibuka untuk semakan selama 30 hari mulai 17 Februari hingga 18 Mac ini.
“DPT BLN1/2023 mengandungi 39,604 nama warganegara yang berumur 18 tahun dan ke atas dalam tempoh 1 hingga 31 Januari 2023 yang didaftarkan secara automatik sebagai pemilih baharu.
“10,092 orang pemilih berdaftar yang bertukar bahagian pilihan raya dan 3,769 orang pemilih bertukar status/kategori pengundi,” kata kenyataan itu pada Jumaat.
Kenyataan itu berkata SPR menyeru warganegara yang berumur 18 tahun dan ke atas dalam tempoh 1 hingga 31 Januari 2023 dan mana-mana pemilih berdaftar yang telah memohon pertukaran bahagian pilihan raya atau pertukaran status untuk menyemak nama mereka dalam DPT BLN1/2023.
“Sekiranya mendapati nama tidak disenaraikan dalam DPT BLN1/2023, mereka boleh membuat tuntutan dengan mengisi Borang C melalui aplikasi dalam talian di pautan https://myspr.spr.gov.my atau hadir ke Pejabat Pilihan Raya Negeri yang berkenaan,” katanya.
Di samping itu, katanya mana-mana pemilih berdaftar di sesuatu bahagian pilihan raya yang membuat semakan dan berhasrat membuat bantahan ke atas kemasukan nama pemilih yang membuat pertukaran ke bahagian pilihan rayanya dengan mengisi Borang D melalui aplikasi yang sama atau hadir ke Pejabat Pilihan Raya Negeri berkenaan.
Borang C dan Borang D juga boleh dimuat turun dari portal Pejabat-Pejabat Pilihan Raya Negeri di pautan http://ppn.spr.gov.my dan perlu dikemukakan kepada Pengarah Pilihan Raya Negeri untuk membuat serahan dan membayar fi bantahan pada waktu pejabat pada mana-mana hari bekerja sepanjang tempoh semakan DPT BLN1/2023.
Suruhanjaya itu berkata pihaknya menyediakan lima kaedah semakan bagi DPT BLN1/2023 iaitu:
-Portal SPR di pautan https://www.spr.gov.my atau https://mysprsemak.spr.gov.my
-Portal rasmi Pejabat-Pejabat Pilihan Raya Negeri di pautan http://ppn.spr.gov.my
-Aplikasi dalam talian di pautan https://myspr.spr.gov.my
-Aplikasi mudah alih MySPR Semak                                                                          -Hotline Semakan Pendaftaran Pemilih di talian 03-8892 7218
BACA JUGA: Puad gesa SPR, SPRM bertindak atas ‘sedekah’ Pas
Â