Suri Tani produk wanita AMANAH tangani kos sara hidup
Angkatan Wanita Amanah Negara (AWAN) Negeri Sembilan bersedia untuk menyumbang tenaga dan kepakaran bagi mengisi makna Kerajaan Perpaduan diterajui Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengutamakan usaha menangani kos sara hidup rakyat.
Ketuanya, Norwani Ahmat berkata, pihaknya bersedia menyahut seruan itu dengan mengambil pendekatan tersendiri menerusi program Suri Tani.
“Program ‘Dari Kebun ke Meja Makan’ itu diwujudkan bagi menarik minat wanita muda dalam melakukan aktiviti pertanian sekaligus membantu menambah pendapatan.
“Konsep dari individu ke komuniti ini juga secara tidak langsung dapat meningkatkan sumber ekonomi keluarga dan masyarakat,” katanya ketika ditemui Harapan Daily di Pejabat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Lenggeng, kelmarin.
Beliau berkata demikian apabila ditanya tentang peranan AWAN dalam menyahut saranan kerajaan membantu menangani kos sara hidup rakyat.
Mengulas lanjut, Norwani yang juga Ketua AMANAH Rembau berkata, usaha itu bukan sahaja mampu mengurangkan beban kewangan, bahkan dapat mewujudkan peluang pekerjaan di negeri tersebut.
“Fokus kami ialah mewujudkan Kebun Komuniti di setiap kawasan Parlimen bagi memberi peluang kepada anak muda untuk bertani.
“Ia secara tidak langsung dapat mengurangkan kos sara hidup dan membuka lebih banyak potensi di negeri ini,” ujarnya lagi.
Dalam pada itu, Norwani yang menjadi Ikon Duta Rahmah turut bercadang untuk membuat Kit Sayur Rahmah dan Jualan Daging Rahmah sebagai alternatif baharu sayap wanita AMANAH itu dalam membantu golongan berpendapatan rendah.
“Hasil saranan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), AWAN negeri bercadang untuk melaksanakan Kit Sayur Rahmah dan Jualan Daging.
“Dengan segala usaha kecil ini, ia dilihat dapat mengisi seruan yang dilakukan oleh Kerajaan Perpaduan,” tambahnya lagi.
Untuk rekod, beberapa kebun sayur, kebun cendawan, kebun komuniti, ladang gaharu dan ternakan kelulut di sekitar Seremban, Kuala Pilah, Seri Menanti dan Batu Kikir diusahakan oleh ahli-ahli AMANAH Negeri Sembilan.
BACA JUGA Jangan gugur mana-mana, PH Negeri Sembilan wajib pertahan 20 kerusi