Umno batalkan pemecatan Lokman Adam

Selepas hilang kelayakan sebagai ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno pada tahun 2020, Datuk Lokman Noor Adam memberitahu beliau kembali selepas pemecatannya itu dibatalkan.

Beliau berkata, Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan telah menghubunginya memaklumkan bahawa mesyuarat MKT malam tadi bersetuju membatalkan pemecatannya sebelum ini.

Lokman turut mengucapkan terima kasih kepada Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan kepimpinan parti yang mendoakannya selama ini.

“Terima kasih Presiden, Timbalan Presiden, ahli MKT dan semua yang mendoakan saya.

“Dengan pembatalan (pemecatan) ini, hak saya untuk bertanding dalam pemilihan kali ini telah dikembalikan, Alhamdulillah,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Presiden Laskar Siber Malaysia berkenaan pada 7 Februari 2020 telah dipecat daripada MKT ekoran kritikannya terhadap Ahmad Zahid.

Namun, dia dilihat lantang mempertahan Umno menerusi siaran langsung di media sosial bagi menjawab persoalan politik di dalam negara.