Untung jadi rakyat Selangor, dari lahir hingga meninggal dijaga kerajaan negeri

Kerajaan negeri Selangor telah menyediakan pelbagai dasar dan program yang akan memberi manfaat kepada semua rakyat Selangor selain menjadi contoh kepada negeri lain.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Setia, Halimey Abu Bakar berkata inisiatif yang diberikan bukan hanya untuk kemudahan rakyat semata-mata malah untuk memberdayakan mereka di negeri ini.

“Rakyat Selangor selesa sekarang ini dengan pemberian yang kerajaan negeri berikan kepada mereka.

“Pendek kata, di Selangor  daripada lahir sehingga meninggal dunia semuanya dijaga oleh kerajaan negeri,” katanya kepada Harapan Daily ketika ditemui baru-baru ini.

Halimey yang juga Ketua Penerangan PKR Selangor berkata pengembangan program kerajaan negeri telah menunjukkan pertambahan jumlah inisiatif sejak pemerintahan Pakatan Rakyat sehingga kini Pakatan Harapan.

“Kita sudah buat berbagai-bagai program untuk rakyat negeri Selangor sejak 2008 dengan pengenalan program Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) di bawah (Allahyarham) Tan Sri Khalid Ibrahim yang bermula hanya dengan lapan program.

“Kemudian selepas itu buat Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) dengan 33 program dan sekarang Datuk Seri Amirudin Shari kita ada 44 program di bawah Iltizam Selangor Penyayang (ISP) yang kita beri kepada rakyat negeri Selangor,” katanya.

Jelasnya antara program kebajikan lain yang diperkenalkan oleh kerajaan negeri termasuk Skim Insurans Am Selangor (Insan) dan khidmat guaman secara percuma.

“Mana kita hendak cari insurans percuma dalam Malaysia, tiada negeri yang beri insurans percuma kepada rakyatnya.

“Tambahan pula terdapat juga bantuan khidmat guaman percuma yang bertujuan memelihara hak dan kebajikan rakyat di negeri ini,” ujarnya.

Insan adalah perlindungan insurans am berkumpulan dilaksanakan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI  kepada enam juta rakyat Selangor ditawarkan kepada individu berumur bermula dari 30 hari sehingga 80 tahun.

Perlindungan insurans sehingga RM10,000 adalah untuk hilang keupayaan kekal dan kematian disebabkan kemalangan.

Bagi khidmat guaman secara percuma, kerajaan negeri Selangor mewujudkan kerjasama dengan pertubuhan yang menawarkan khidmat guaman bagi melaksanakan program dana bantuan guaman Selangor bagi membantu rakyat negeri Selangor.

Antara isu boleh dibantu daripada aspek guaman adalah keganasan domestik dan kehilangan pekerjaan kepada rakyat Selangor dalam kategori golongan berpendapatan rendah iaitu B40 yang kurang berkemampuan.