Aset di Luxembourg: Tiada kompromi soal kedaulatan negara – Fadillah

Kerajaan tidak akan berkompromi dalam membela hak serta kedaulatan negara terutamanya dalam mendepani tuntutan pihak yang mengaku sebagai waris kumpulan Sulu terhadap aset-aset negara.

Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof berkata pendirian negara kekal, walaupun perlu berdepan dengan tuntutan mereka di negara-negara yang berbeza.

“Pada masa sama Kerajaan juga sedang meneruskan usaha memberi kesedaran pada negara-negara Eropah lain (yang mempunyai aset negara) untuk mengatakan tuntutan ini tidak berasas.

“Tuntutan ini seolah-olah ingin mengugut negara kita dalam konteks ekonomi kerana mereka mungkin ada ‘funder’ yang melihat ada peluang untuk dapatkan keuntungan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri program Hari Kanser Sedunia peringkat Parlimen Petra Jaya, hari ini.

Semalam, Petroliam Nasional Bhd (Petronas) dalam kenyataannya menegaskan bahawa tuntutan oleh pihak berkenaan terhadap dua anak syarikatnya di Luxembourg (Luxcos) sebagai tidak berasas, dan akan terus mempertahankan kedudukannya di sisi undang-undang.

Kenyataan itu merujuk kepada laporan media mengenai tindakan Mahkamah Luxembourg mengeluarkan perintah sitaan baharu ke atas dua anak syarikat Petronas itu pada minggu ini.

Menteri Undang-Undang dan Reformasi Institusi Datuk Azalina Othman Said turut mengikuti rapat kes ini dan memberi jaminan bahawa Malaysia akan bertindak mengikut lunas undang untuk mempertahankan kedaulatannya.

Laporan agensi berita Reuters bertarikh 16 Feb dengan tajuk ‘Petronas units in Luxembourg seized again in US$15 billion arbitration dispute,’ yang menyatakan bahawa bailif mahkamah Luxembourg mengeluarkan perintah sitaan baharu bagi unit terbabit, minggu ini.

Berhubung dengan perkara ini, Menteri Undang-Undang dan Reformasi Institusi Datuk Azalina Othman Said semalam berkata pihak kerajaan belum menerima sebarang notis rasmi berkenaan perkara ini.

Beliau turut memberi jaminan bahawa kerajaan akan mempertahankan haknya di Mahkamah Luxembourg selepas mendapat notis berkaitan.

BACA JUGA: Rayuan waris Sultan Sulu ditolak, satu lagi kemenangan buat Malaysia – Azalina

Azalina: Perintah penahanan waris Sultan Sulu sudah diketepikan buat masa ini