Dr Malar hairan kenapa semua penyakit mahu dikaitkan dengan makanan

Seorang doktor yang bertugas di Jabatan Kecemasan Hospital Columbia Asia Cheras, Kuala Lumpur, Dr Malar Santhi mengakui hairan mengapa masih ada pihak gemar mengaitkan semua penyakit dengan makanan.

Dr Malar berkata, untuk mengaitkan makanan dengan penyebab kanser adalah salah kerana sehingga kini kebanyakan penyakit barah itu masih belum diketahui punca sebenarnya kecuali kanser pangkal rahim.

“Kenapa eh semua penyakit dekat Malaysia ini mesti dikaitkan dengan makanan. Autisme salah makanan. Kanser salah makanan. Kalau kandungan gugur salah makanan.

“Pernah tak kita terfikir bukan semua penyakit berpunca daripada makanan. Ada penyakit berpunca daripada virus, ada penyakit berpunca daripada keturunan, dan keadaan sekeliling,” katanya dalam satu video yang dimuat naik di TikTok.

Dr Malar

Dalam pada itu, Dr Malar menegaskan, tiada kaitan jika mahu mengandaikan makan di warung-warung yang murah, boleh mengundang kanser.

Beliau bagaimanapun tidak menafikan bahawa pengambilan makanan tidak sihat mampu meningkatkan peluang mendapat penyakit, namun jika mengambil makanan seperti ayam, sayur-sayuran dan telur, ia tiada kaitan langsung dengan kanser mahupun autisme.

“Tak boleh kata orang yang makan dekat hotel five star mesti tak dapat kanser. Orang yang makan dekat warung mesti dapat kanser. Tidak, tiada kaitan macam tu.

“Sudah tentu pemakanan tidak sihat boleh meninggikan risiko kanser seseorang. Makan burger, nugget, sosej iaitu makanan yang diproses secara tinggi, ya akan meningkatkan risiko kanser.

“Tapi kalau makan sayur, ayam, kobis, telur tak kisahlah makan dekat hotel lima bintang ke makan dekat warung tepi jalan ke, saya tak faham kenapa ia perlu dikaitkan dengan penyakit seperti kanser ataupun autisme,” ujarnya lagi.

Terdahulu Ahli Parlimen Pas, Dr Halimah Ali berdepan kecaman hebat selepas cuba cuba mengaitkan Menu Rahmah dengan kebimbangan mengenai “makanan berkualiti rendah” boleh mendedahkan orang ramai kepada risiko penyakit, termasuk kanser dan autisme.

Dr Halimah ketika itu dikatakan menyuarakan kebimbangan tentang bekalan makanan berkualiti rendah yang mungkin disediakan peniaga hanya kerana mahu menyediakan Menu Rahmah untuk pelanggan.

Kenyataan itu disangkal ramai pihak bukan sahaja dari ahli-ahli politik, bahkan doktor perubatan, dan ahli perniagaan besar Mydin yang merupakan pihak terawal menyahut seruan kerajaan menyediakan makanan murah untuk orang ramai.

Baca juga: PRN Kedah: Mahfuz nafi akan pertemukan Mukhriz, Anwar