Pindaan perlembagaan: Kewarganegaraan untuk anak yang dilahirkan oleh ibu warga Malaysia

Menteri Dalam Negeri Datuk Saifuddin Nasution Ismail dan Menteri Undang-undang dan Reformasi Institusi Datuk Azalina Othman Said telah mengumumkan bahawa cadangan pindaan perlembagaan yang akan memberikan kewarganegaraan kepada anak yang dilahirkan di luar negeri oleh ibu warga Malaysia yang berkahwin dengan lelaki bukan warganegara.

Menurut mereka berdua, kabinet telah bersetuju dengan pindaan terhadap Bahagian I seksyen (1)(1)(d) dan seksyen (1)(1)(e). Lampu hijau juga telah diberikan untuk pindaan kepada Bahagian II, Seksyen 1(b) dan Seksyen 1(c) Jadual Kedua untuk memberikan taraf kewarganegaraan secara kuatkuasa undang-undang.

Cadangan pindaan di atas akan menggantikan perkataan “bapanya” dalam Bahagian I dan II dengan perkataan “sekurang-kurangnya seorang daripada ibu bapanya” agar ibu warga Malaysia mendapat keadilan yang sewajarnya.

Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2023 akan dibentangkan dalam sidang parlimen sekarang.

Pindaan lain berkaitan kewarganegaraan di Bahagian III akan dikaji dengan lebih terperinci oleh sebuah jawatankuasa di bawah Kementerian Dalam Negeri dan cadangan pindaan akan dibentangkan kepada kabinet setelah ia dimuktamadkan.

Kedua-dua menteri berkata bahawa pindaan ini sejajar dengan komitmen Kerajaan Perpaduan mengiktiraf kesamarataan wanita dan lelaki dan menyingkirkan diskriminasi terhadap wanita.

Selain itu, pindaan ini juga mengatasi kelemahan peruntukan kewarganegaraan, menyelesaikan lambakan kes tertunggak bagi wanita terkesan yang memohon kewarganegaraan anak mereka melalui proses pendaftaran yang terlalu lama.

Pindaan ini akan membolehkan anak yang dilahirkan oleh wanita warga Malaysia di luar negara mendapatkan kewarganegaraan menurut Fasal (1) Perkara 14, Perlembagaan Persekutuan.

Isu kewarganegaraan untuk anak kepada ibu warga Malaysia mendapat liputan meluas sejak kumpulan Family Frontiers memfailkan kes mahkamah untuk mendapatkan keadilan demi anak mereka.

BACA JUGA: Memorandum jemaah menteri, langkah penyelesaian masalah kewarganegaraan

Â