Sabah bentang enakmen anti lompat parti bulan hadapan

Kerajaan Sabah pimpinan Gabungan Rakyat Sabah akan membentangkan cadangan enakmen anti lompat parti semasa Dewan Undangan Negeri pada bulan hadapan, umum Menteri Kewangan Sabah merangkap setiausaha agung GRS, Datuk Masidi Manjun.

Masidi telah menyatakan bahawa anggota kabinet negeri Sabah telah bersetuju dengan cadangan enakmen ini, lapor akhbar The Star.

Beliau turut menafikan bahawa kelewatan untuk meluluskan undang-undang tersebut adalah kerana GRS berusaha mendapatkan lebih ramai Adun dari Parti Warisan Sabah, pimpinan Datuk Seri Shafie Apdal.

Shafie pernah mendakwa bahawa terdapat usaha yang dijalankan oleh pihak tertentu agar Adunnya melompat ke GRS.

Sabah telah menyaksikan kes lompat parti seawal tahun 1990an ketika Parti Bersatu Sabah di bawah kepimpinan Tan Sri Joseph Pairin Kitingan menjadi Ketua Menteri.

Terbaru, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor memegang tampuk pemerintahan atas tiket Bersatu tetapi bertanding atas nama GRS menyokong pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Hajiji turut menguatkan kedudukannya apabila tiga anggota Parti Warisan Sabah bertindak keluar parti.

Enakmen anti lompat parti sudahpun diluluskan di negeri Selangor, Perak, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kelantan dan Perlis.

Di peringkat kerajaan pusat, pindaan perlembagaan telah dibuat dengan sokongan majoriti agar ahli parlimen tidak boleh bertindak seorang diri untuk melompat parti.